Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU had tempoh PM bercanggah kuasa Agong, PN desak tangguh usul

PARLIMEN l Ahli Parlimen pembangkang hari ini mendesak Putrajaya supaya menangguhkan rancangan membentangkan dua rang undang-undang (RUU) reformasi institusi minggu depan membabitkan pengasingan peranan peguam negara (AG) daripada pendakwa raya (PP) serta had tempoh jawatan perdana menteri.

Pada satu sidang media di Parlimen, hari ini, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan berkenaan dan merujuknya ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) untuk penelitian lanjut.

Pihak pembangkang percaya RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri mungkin bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, manakala cadangan pengasingan peranan AG-PP perlu diperhalusi bagi memastikan wujudnya akauntabiliti, katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut memberi amaran bahawa kerajaan mungkin tidak akan mendapat sokongan mencukupi untuk meluluskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat sekiranya mereka meneruskan rancangan itu minggu depan.

"Pembangkang mengharapkan RUU ini dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Kalau boleh ditarik daripada dibentangkan untuk bacaan kali kedua Isnin ini.

"Sebaliknya, rujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan membuat pindaan-pindaan yang sewajarnya.

"(Jika tetap diteruskan), kerajaan bukan sahaja akan kehilangan sokongan ahli Parlimen pembangkang, malah mungkin gagal mendapat undi daripada ahli Dewan Rakyat bukan pembangkang," katanya.

Takiyuddin merujuk kepada sekumpulan ahli parlimen PKR yang baru-baru ini menggesa Putrajaya mempertimbangkan pindaan terhadap cadangan pengasingan peranan AG-PP, dengan menegaskan sokongan mereka terhadap RUU itu bergantung kepada pindaan tersebut.

Tempoh jawatan PM

Mengenai had tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun, Takiyuddin berkata pembangkang bimbang terhadap keabsahan perlembagaan kerana RUU itu boleh menjejaskan kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Memetik Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, wakil rakyat PAS itu berkata Seri Paduka Baginda mempunyai budi bicara untuk melantik seorang perdana menteri dalam kalangan ahli parlimen yang dipercayai mendapat sokongan majoriti.

"Perkara 43(2)(a) berbunyi Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik perdana menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti.

"Tiada ada apa-apa syarat 10 tahun, 20 tahun, lima tahun... tidak ada. Jadi dengan membuat pindaan ini pada pandangan kami, ia bercanggah dengan Perkara 40 prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan juga Perkara 43(2)(a) iaitu hak budi bicara untuk melantik perdana menteri siapa saja asal dia seorang ahli Dewan Rakyat," katanya.

Takiyuddin menambah bahawa cadangan sedemikian juga perlu melalui Majlis Raja-Raja terlebih dahulu untuk mendapatkan perkenan.

Kegagalan kerajaan untuk mendapatkan perkenan Raja-Raja Melayu akan menyebabkan undang-undang itu tidak sah, dakwanya.

Kerja 'salin dan tampal'

Mengenai pengasingan peranan AG-PP, Takiyuddin mengkritik kerajaan kerana ia bukan satu reformasi menyeluruh, sebaliknya didakwa memindahkan kuasa sedia ada tanpa mewujudkan mekanisme semak dan imbang.

Katanya, Walaupun RUU itu bertujuan memisahkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara, namun ia masih gagal menangani masalah seorang pegawai yang memegang kuasa luas untuk memulakan, menjalankan, atau menghentikan prosiding jenayah tanpa akauntabiliti.

"Kuasa ini bersifat mutlak atau absolute discretion, termasuk untuk memulakan, meneruskan atau menarik balik sesuatu pendakwaan. Inilah yang sekian lama menjadi kebimbangan masyarakat sivil kerana kuasa tersebut terlalu besar tanpa mekanisme semak dan imbang yang mencukupi," katanya.

Menurut Takiyuddin, mlalui pindaan yang dicadangkan, apa berlaku hanyalah pemindahan kuasa secara copy and paste (salin dan tampal) walaupun Perkara 145 dipinda dan kuasa AG dilihat seolah-olah dikurangkan, dan peruntukan yang sama dipindahkan hampir sepenuhnya kepada PP.

"Sebagai contoh, Perkara 145B(1) memperuntukkan bahawa PP mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan dengan perkataan yang hampir sama seperti peruntukan terdahulu bagi AG.

"Ini bermakna kuasa mutlak itu tidak dihapuskan, sebaliknya hanya dipindahkan daripada AG kepada PP. Perkara yang menjadi perhatian pihak pembangkang ialah ketiadaan mekanisme akauntabiliti dan semak imbang terhadap PP.

"Seorang menteri bertanggungjawab kepada parlimen dan kabinet, namun PP tidak bertanggungjawab secara langsung kepada mana-mana institusi dalam kerangka Perlembagaan," katanya.

Atas alasan itu, Takiyuddin berkata, PN mencadangkan isu ini dirujuk kepada PSSC khas, dan mungkin dibincangkan dengan pihak lain juga, seperti NGO,.

Sebagai satu bentuk semak dan imbang, Takiyuddin berkata pembangkang mencadangkan agar kuasa yang dipegang oleh PP harus terbuka kepada semakan kehakiman.


Laporan oleh Hariz Mohd, Alyaa Alhadjri, N Faizal Ghazali


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS