Markas Besar Angkatan Pertahanan Bahrain mengumumkan bahawa sistem pertahanan udara peluru berpandunya berjaya dan berkesan memintas serangan musuh dari Iran yang menyasarkan Kerajaan itu, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA).
Sebanyak 61 peluru berpandu dan 34 pesawat tanpa pemandu telah dimusnahkan serta dineutralkan.
Markas Besar mengesahkan bahawa semua sistem pertahanan kekal pada tahap kesiapsiagaan maksimum bagi memastikan sebarang ancaman lanjut dapat dipintas secara segera dan tegas.
Markas Besar seterusnya menyatakan bahawa penggunaan peluru berpandu balistik dan pesawat tanpa pemandu untuk menyasarkan infrastruktur awam serta harta benda persendirian merupakan pencabulan berat terhadap prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya prinsip perbezaan dan perkadaran.
Serangan rambang dan menyalahi undang-undang ini mewakili ancaman langsung kepada keamanan dan keselamatan serantau.
Kerajaan Bahrain menegaskan semula hak sahnya untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatannya.
Berdasarkan perkara di atas, Markas Besar menggesa semua penduduk dan warganegara untuk mengamalkan langkah berhati-hati dan kewaspadaan yang tinggi, kekal berada di dalam rumah dan hanya keluar jika benar-benar perlu demi menjaga keselamatan awam.
Orang ramai seterusnya digesa untuk hanya bergantung kepada sumber maklumat rasmi dan sahih, mengabaikan khabar angin serta menjauhkan diri dari lokasi serangan.
- Bernama
