Lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd di negara ini dilanjutkan selama 10 tahun, berkuat kuasa 3 Mac.
Syarikat induk Lynas yang berpangkalan di Australia memaklumkan pihaknya menerima surat daripada Jabatan Tenaga Atom, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia yang memaklumkan keputusan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Australia, Amanda Lacaze pada satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Putrajaya atas lanjutan tempoh yang panjang itu dan berkata ia memberi kepastian pelaburan lebih besar kepada syarikat, rakan rantaian bekalan serta pelanggan.
Sementara itu, Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (Mosti) berkata pembaharuan lesen tertakluk kepada syarat yang lebih ketat, serta semakan menyeluruh selepas lima tahun.
Kementerian itu berkata tiada lagi kemudahan pelupusan kekal (PDF) baru akan dibina pada masa hadapan bagi residu Water Leach Purification (WLP) yang melebihi had kawalan di bawah Akta Tenaga Atom 1984 (Akta 304).Selepas tempoh lima tahun pertama, pengeluaran residu radioaktif hendaklah dihentikan sepenuhnya.
Menurutnya, residu radioaktif yang dihasilkan dalam tempoh tersebut hendaklah dineutralkan melalui pengekstrakan thorium atau kaedah rawatan yang diluluskan ke tahap kurang daripada 1Bq/g.
"Ini bermakna tiada lagi pengumpulan residu radioaktif secara berterusan selepas tempoh lima tahun berkenaan. Ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan
tiada lagi pertambahan residu radioaktif secara berterusan di dalam negara kita,” kata kementerian itu.
Kementerian itu menambah syarat pelesenan juga mengkehendaki Lynas melaksanakan hasil R&D yang telah berjaya di peringkat makmal kepada peringkat komersial dan kegunaan industri, serta memperkukuh kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan pihak industri.
Di samping itu, syarat 1 peratus jualan kasar tahunan Lynas untuk digunakan sebagai dana R&D dikekalkan dalam pembaharuan lesen.
"MOSTI melalui Jabatan Tenaga Atom akan melaksanakan pemantauan rapi dan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan semua syarat lesen dipatuhi sepenuhnya, termasuk dalam aspek keselamatan sinaran, perlindungan alam sekitar dan pengurusan residu,” tambahnya.
Sementara itu, ditanya mengenai sisa sedia ada, Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata pada sidang media di parlimen bahawa PDF kini telah siap 75 peratus dan dijangka selesai pada akhir tahun ini.
Dia juga menafikan bahawa lanjutan lesen ini merupakan pengkhianatan terhadap janji Pakatan Harapan sebelum ini mengenai operasi Lynas di Malaysia.
“Ini bukan pengkhianatan. Apa yang kami bantah ialah pengumpulan sisa radioaktif secara berterusan di Malaysia,” katanya.
Menegaskan semula syarat yang dikenakan ke atas Lynas, dia menambah, “Ini adalah komitmen kerajaan kepada rakyat dan pelabur asing – Jika mereka mematuhi syarat pelesenan, mereka dibenarkan untuk beroperasi.”
PH sebelum ini mempunyai hubungan yang berliku dengan Lynas apabila pernah terlibat gerakan memperjuangkan gesaan penutupan operasi syarikat itu susulan kebimbangan terhadap risiko alam sekitar dan kesihatan.

Pada 2023, berlaku pertikaman lidah antara syarikat dan kerajaan apabila Putrajaya menegaskan Lynas perlu memindahkan kemudahan ‘cracking and leaching’ (pecah dan larut) di Gebeng, Kuantan ke luar Malaysia sebelum Julai 2023.
Kemudahan Lynas itu menghasilkan sisa radioaktif 'water leach purification' (pemurnian melalui larutan air - WLP).
Bagaimanapun, syarat tersebut akhirnya ditarik balik selepas Lynas mencadangkan kepada kerajaan untuk mengekstrak torium daripada bahan mentah lanthanide serta sisa WLP.
Thorium yang diekstrak dicadangkan dijual sebagai bahan api nuklear, tetapi cadangan ini dikritik oleh para pakar sebagai “spekulatif” kerana reaktor nuklear yang menggunakan thorium masih berada pada peringkat eksperimen.
Syarikat itu masih dikehendaki membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) bagi menyimpan sisa radioaktif dan menyumbang kepada dana penyelidikan dan pembangunan, selaras dengan syarat asal kerajaan ketika melanjutkan lesen Lynas sehingga 2026.
‘Bebas torium’
Bulan lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang mendedahkan kerajaan pada akhirnya akan mewajibkan Lynas menggunakan teknologi pengekstrakan torium bagi mengimport bijih nadir bumi “bebas torium”.
“Ke depan, kita akan mewajibkan (Lynas) menyelesaikan proses pengekstrakan torium di Australia sebelum dihantar ke sini,” katanya.

Chang turut memaklumkan kementeriannya mengendalikan Sistem Pemantauan Radiasi Alam Sekitar di dalam loji nadir bumi Lynas serta di kemudahan pelupusan kekalnya.
Semua data berkaitan akan dimuat naik ke platform awam yang bakal dilancarkan, yang menyediakan data alam sekitar secara masa nyata.
