Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gabungan NGO gesa tangguh RUU pisah kuasa peguam negara
Diterbitkan:  Mar 2, 2026 1:48 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Gabungan kumpulan proreformasi institusi mendesak kerajaan agar menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berkaitan pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

CSO Platform for Reform (CSO Platform) menyatakan kebimbangan terhadap proses pembentangan yang didakwa tergesa-gesa tanpa penelitian parlimen yang mencukupi atau rundingan awam yang menyeluruh.

"Meskipun kami menyokong prinsip pemisahan tersebut, kami amat bimbang bahawa RUU ini dibentangkan dan dijadualkan untuk dibahaskan secara tergesa-gesa.

"Pemisahan semata-mata tidak mencukupi. Jika dirangka secara tidak teliti, struktur baru ini berisiko sekadar memindahkan kuasa tanpa benar-benar mereformasikannya," kata gabungan itu dalam kenyataan, hari ini.

CSO Platform mencadangkan agar RUU tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk penelitian terperinci.

Antara tuntutan utama gabungan itu termasuklah:

Pelantikan melalui parlimen: Pendakwa raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat parlimen setelah melalui sesi pendengaran awam dan kelulusan majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Mekanisme pengawasan: Pendakwa raya wajib membentangkan laporan tahunan kepada parlimen dan PSSC mempunyai kuasa untuk memanggil pendakwa raya hadir menjawab soalan.

Had tempoh perkhidmatan: Mencadangkan tempoh empat tahun yang boleh diperbaharui sekali sahaja, berbanding cadangan tujuh tahun dalam RUU semasa.

Lembaga pengampunan: Mengeluarkan pendakwa raya daripada menganggotai Lembaga Pengampunan bagi mengelakkan konflik kepentingan.

Menurut CSO Platform, sistem sedia ada bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan telah sekian lama menimbulkan ketidakpercayaan awam, terutama dalam kes berprofil tinggi dan sensitif dari segi politik.

"Seorang pendakwa raya yang terlindung daripada kebertanggungjawaban parlimen boleh menjadi tidak tertakluk kepada rakyat," tegas kenyataan itu lagi.

CSO Platform merupakan gabungan 73 pertubuhan masyarakat sivil antaranya Bersih, Amnesty International Malaysia, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Selepas kajian bertahun lamanya, RUU untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya akan dibahaskan di parlimen esok.

Bagaimanapun, pindaan perlembagaan dalam bentuknya sekarang - dan tanpa sebarang perubahan dibuat - mungkin tidak akan mendapat sokongan mencukupi untuk diluluskan.

Sepuluh ahli Parlimen PKR memberi isyarat mereka tidak akan menyokong RUU itu jika kerajaan antara lain tidak memasukkan klausa yang membenarkan parlimen menilai calon pendakwa raya.

Terdahulu, pembangkang turut menuntut RUU itu ditambah baik dengan memperkenal mekanisme bebas dan berwibawa dalam urusan pelantikan serta pemberhentian pendakwa raya menerusi penubuhan jawatankuasa pilihan khas parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS