Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan kembali menerajui parti itu.
Syed Saddiq memaklumkan dia tidak akan bertanding dalam pemilihan kepimpinan sulung parti berkenaan, dengan mengambil kira kes rasuah yang sedang dihadapinya dan kini berada di peringkat Mahkamah Persekutuan.
"Saya masih berpegang teguh pada prinsip bahawa Muda dan Malaysia memerlukan kepimpinan yang lebih putih daripada putih.
"Sehingga nama saya dibersihkan sepenuhnya dan secara muktamad, adalah tidak wajar untuk saya memohon apa-apa jawatan yang boleh mengalih perhatian, memecah-belahkan atau menggagalkan gerakan yang kita mulakan bersama," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Syed Saddiq berdepan empat pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada Bersatu berjumlah RM1.12 juta.
Dia pada asalnya disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan.
Ahli parlimen Muar itu meletak jawatan sebagai presiden Muda selepas sabitan awal pada 2023 dan parti berkenaan kemudian diterajui satu-satunya wakil rakyat terpilihnya, Adun Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz.
Sejak itu, dia terus berkhidmat sebagai ahli arlimen yang aktif namun banyak meluangkan masa sebagai pempengaruh media sosial.

Sejak kebelakangan ini, tanpa kepimpinan Syed Saddiq, Muda dilihat kehilangan banyak momentum.
Parti itu gagal menang sebarang kerusi serta hilang semua wang deposit dalam pertarungan pada enam pilihan raya negeri.
Amira juga membawa parti itu lebih dekat dengan Perikatan Nasional apabila menyertai gabungan longgar Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang dipimpin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Muda akan mengadakan pemilihan parti sulungnya pada 14 Mac ini.

Sementara itu, Syed Saddiq menegaskan Muda bukan kenderaan peribadi untuk dirinya.
"Muda lebih besar daripada saya. Tiada individu lebih besar daripada parti. Dan tiada parti lebih besar daripada Malaysia.
"Dengan rendah hati, saya mengundur selangkah supaya Muda dapat melangkah ke hadapan," katanya.
