Seramai 13 ahli parlimen Bersatu memutuskan untuk terus menyokong Hamzah Zainudin yang dipecat daripada parti itu kekal sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.
Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee memaklumkan demikian menerusi surat rasmi yang dihantar kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan.
Surat tersebut menyatakan ketetapan berkenaan dibuat secara kolektif dan majoriti selaras dengan Peraturan Mesyuarat 4A.
“Seramai 13 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara kolektif dan majoriti telah membuat ketetapan untuk menyokong dan mengekalkan Ahli Parlimen Larut, YB Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia selaras dengan Peraturan Mesyuarat 4A,” tulis Ronald Kiandee sambil memaklumkan senarai 13 ahli parlimen terbabit turut dilampirkan bersama surat itu sebagai pengesahan rasmi pendirian mereka.

Antara yang menyatakan sokongan termasuk Ronald sendiri; Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Khlir Mohd Nor (Ketereh); Zakri Hassan (Kangar); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing).
Perkembangan itu hadir selepas Takiyuddin dilaporkan berkata kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang kekal setakat ini manakala tempat duduk ahli parlimen Bersatu yang dipecat parti juga tidak berubah.
Perkara tersebut disahkan Takiyuddin selepas mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, pada 26 Febuari lalu.
Dia turut memaklumkan tiada sebarang pemberitahuan diterima daripada ahli parlimen blok pembangkang berhubung perubahan kedudukan ketua pembangkang.

Sementara itu, Ronald menegaskan komitmen ahli parlimen Bersatu untuk terus memperjuangkan suara rakyat dan melaksanakan fungsi semak dan imbang, termasuk dalam baki sesi parlimen yang hanya tinggal beberapa hari.
“Kami akan terus memberikan tumpuan dan fokus bagi menjulang suara rakyat, mengangkat kepentingan nasional serta melakukan peranan semak dan imbang dengan penuh tanggungjawab,” tambahnya.
Sebelum ini, PAS berhasrat menamakan pemimpin partinya sebagai calon ketua pembangkang baru susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu.
Menurut notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan, pemecatan Hamzah dibuat atas alasan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
