[Tulisan ini menjawab ulasan bertajuk Pencalonan Samsuri bukti kepimpinan ulama PAS luntur oleh Faiz Fadzil pada 28 Feb]
Pencalonan Ahmad Samsuri Mokhtar kini memasuki fasa polemik yang bertele-tele. Lantikan beliau sering ditafsir oleh sebahagian pihak sebagai bukti kononnya “kepimpinan ulama” dalam PAS semakin luntur. Dakwaan ini perlu dinilai secara analitikal, bukan emosional.
Tulisan ini meneliti naratif tersebut dalam kerangka teori kepimpinan parti, politik persepsi dan dinamika koalisi. Hujah bahawa pelabelan sedemikian lebih mencerminkan persaingan wacana politik berbanding perubahan substantif dalam struktur ideologi atau organisasi parti.
Politik label, retorik persepsi
Dalam politik kontemporari, pembingkaian (framing) memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi awam. Dakwaan bahawa pencalonan seorang tokoh teknokrat atau pentadbir sebagai calon utama menandakan “kemerosotan” kepimpinan ulama adalah satu bentuk generalisasi retorik. Tujuan pembingkaian begini seboleh-bolehnya cuba menarik kepercayaan dan menerapkan stigma negativiti dan memaksa secara halus untuk menolak pemikiran positivisme.
Secara konseptual, kepimpinan ulama dalam PAS bukan semata-mata merujuk kepada individu tertentu, tetapi kepada struktur dan keputusan Majlis Syura Ulama dan kerangka ideologi parti. Selagi struktur tersebut berfungsi dan mempunyai autoriti substantif, perubahan pada posisi tertentu tidak semestinya mencerminkan pelunturan prinsip. Oleh itu, persoalan yang lebih tepat bukanlah sama ada kepimpinan ulama “luntur”, tetapi sama ada proses pemilihan dan pencalonan tersebut selari dengan kerangka organisasi sedia ada. Namun tidak berganjak dari ideologi parti.

Perlu diperingatkan, PAS sudah begitu berpengalaman dalam soal berpolitik dan kematangan serta keterbukaannya menubuhkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menjadi penanda aras bahawa kepimpinan ulama sudah sedia terbuka untuk disertai pelbagai kaum. Jelaslah, Ahmad Samsuri watak protogonis yang telah lama dicipta dan kini tersedia untuk diketengahkan. Setelah kesekian lama PAS hanya dikatakan menyediakan kereta tapi tiada pemandu. Maka, jika tidak sekarang pemandu masuk gelanggang, bila lagi?
Dinamika parti dan evolusi kepimpinan
Parti politik yang berfungsi dalam demokrasi moden lazimnya melalui evolusi kepimpinan. Dalam konteks PAS, keseimbangan antara ulama, profesional dan teknokrat telah lama menjadi ciri dalaman parti.
Pencalonan Ahmad Samsuri boleh ditafsir sebagai manifestasi strategi peluasan pengaruh — khususnya dalam konteks pengurusan negeri dan peranan dalam koalisi seperti Perikatan Nasional (PN). Dalam teori organisasi politik, kepelbagaian latar kepimpinan sering dianggap sebagai faktor pengukuhan, bukan pelemahan. Ingatlah, semua anggota parti khasnya pimpinan tertinggi bukanlah ‘rigid’, malah menjadi aset ‘tangible’ yang boleh diolah dan digubah mengikut keperluan parti dan kesesuaian keadaan politik semasa.
Maka, naratif pelunturan mungkin lebih bersifat polemik daripada analisis empirikal. Bila menjurus kepada kepimpinan ulama, dituduh cuba sebar ideologi ‘ala Taliban’. Apabila melantik Ahmad Samsuri seorang ahli politik teknokrat, jurutera angkasa dan pensyarah dianggap kepimpinan ulama mulai luntur – serba tidak kena, apa sebenarnya yang dimahukan? Apa niat dan tujuan sebenar ahli politik anakronistik ini cuba memanipulasi langkah PN yang boleh dianggap sebagai strategi politik ‘avant garde’ dalam abad ini?

Meletakkan watak Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi PN ‘ibarat cincin bertatahkan permata’. Berdasarkan buku Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu karya Tenas Effendy (DBP, 2000), jika memilih pemimpin, ketahui jenis pemimpin Melayu berasaskan konsep Islam dan budaya Melayu; terbahagi kepada empat karakter utama iaitu amanah (tanggungjawab moral), fathanah (cerdas/bijak), tabligh (menyampaikan), dan shidiq (jujur). Pemimpin ideal digambarkan sebagai yang berakal, bijak, dan amanah dalam menjaga rakyat. Tenas Effendy juga menekankan peri penting pemimpin sejati adalah mereka yang sempurna lahiriah dan batiniah, beriman kukuh, serta beradat, selaras dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah.
Politik sindiran dan polarisasi
Teks asal turut menggambarkan kecenderungan sebahagian ahli politik menggunakan bahasa sindiran dan kecaman terhadap pihak yang dilihat “mengampu” kerajaan semasa. Fenomena ini mencerminkan tahap polarisasi politik yang tinggi dalam sistem kepartian Malaysia. Pemikiran begini sempit tapi mempunyai nafsu untuk ‘pecah dan perintah’ (divide and rule) yang membawa kepada keadaan parti dan ahli yang terpecah-pecah. Mudahlah musuh politik mencelah dan mencanggah.
Namun, dalam wacana akademik, kritikan perlu dipisahkan daripada serangan peribadi, demi membuktikan kematangan. Politik yang matang menuntut hujah berasaskan data rasmi dan prinsip jelas, bukan pelabelan moral atau intelektual terhadap lawan. Bukan sekadar petikan rambang dari mana-mana sumber dan mengangkatnya sebagai bukti primer – tanpa membuat suatu analisis kajian terfokus, rinci dan mendalam. Kritikan begini cerminan hujah yang cetek, melampias amarah dan alasan yang tohor – bukti hati tidak jujur dan jiwa tidak luhur.
Polarisasi berlebihan berisiko mengalihkan perbincangan daripada isu dasar kepada konflik identiti dan emosi. Ini membuktikan, ahli politik menghadapi krisis keyakinan dan kesatuan pemikiran tidak lagi wujud secara nomal. Ini disebabkan oleh pemikiran kabur dan hati telah dikuasai rasa marah, benci dan cemburu. Lantas menimbulkan ketidakyakinan emosi yang menghasilkan idea yang nihil dan bercelaru.
Simbol atau struktur?
Konsep kepimpinan ulama dalam PAS mempunyai dua dimensi utama:
Dimensi simbolik — legitimasi moral dan autoriti agama.
Dimensi struktural — mekanisme organisasi seperti Majlis Syura yang menentukan dasar dan hala tuju.
Jika dimensi struktural masih utuh, maka pencalonan tokoh dengan latar profesional atau pentadbiran tidak semestinya menggugat identiti parti. Sebaliknya, ia mungkin mencerminkan strategi penyesuaian terhadap keperluan pentadbiran moden. Adakalanya, Islam tidak dicirikan dengan rupa fizikal berjubah dan berserban. Tetapi, keterempilan berkot, bertali leher dan berkasut hitam cerminan Islam boleh beradaptasi mengikuti perubahan zaman.
Dalam teori institusi, adaptasi adalah tanda kelangsungan, bukan kemerosotan. Ingatlah, ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’ – perubahan itu kemestian untuk menyesuaikan ideologi dengan keadaan dan sekaligus menentukan survival politik masa depan. Ungkapan "Jika anda tidak berubah, zaman akan mengubah anda" sering dikaitkan dengan pemikir pengurusan terkemuka Peter Drucker, yang menekankan kepentingan penyesuaian diri terhadap perubahan persekitaran.
Persepsi awam dan strategi
Dalam konteks persaingan antara blok politik, naratif “kepimpinan ulama luntur” juga boleh dilihat sebagai usaha melemahkan imej konsistensi ideologi parti tersebut di mata penyokong tradisional. Ini sikap dengki dan iri hati yang mencerminkan betapa kroniknya sakit hati yang telah membarah dalam diri.
Namun dalam sistem politik koalisi, fleksibiliti kepimpinan sering diperlukan bagi memastikan keberkesanan rundingan dan tadbir urus. Justeru, persoalan sebenar ialah sejauh mana pencalonan tersebut meningkatkan keupayaan parti dalam memenuhi aspirasi pengundi, bukan semata-mata status latar individu.

Dakwaan bahawa pencalonan Ahmad Samsuri membuktikan lunturnya kepimpinan ulama dalam PAS memerlukan analisis yang lebih berhati-hati. Secara struktural, selagi mekanisme ideologi dan organisasi parti kekal berfungsi, perubahan pada peringkat pencalonan tidak boleh dianggap sebagai bukti kemerosotan prinsip.
Sebaliknya, fenomena ini lebih mencerminkan dinamika evolusi kepimpinan dan persaingan wacana dalam politik Malaysia. Dalam demokrasi yang matang, perdebatan tentang kepimpinan seharusnya berfokus kepada kompetensi, integriti dan keberkesanan dasar — bukan sekadar naratif polemik yang menguatkan polarisasi dan bukan juga petikan-petikan fakta liar yang kesasar, ‘ibarat kiambang akar tidak jejak ke dasar’.
Sikap negatif, benci dan dengki, waham dan dendam serta 'suka menjaga tepi kain orang' memang kelakuan dan amalan buruk segelintir ahli politik. Sikap prejudis begini akan menghalang mereka menjadi lebih progresif bertindak dan tidak dinamik – hidup dalam penafian dan enggan menerima perubahan demi kemajuan dan kebaikan masa depan. Ini adalah akibat tidak berupaya 'mencermin diri' dan membebaskan diri dari 'kolong kesempitan akal' yang dangkal. Penyakit begini memang dihidapi oleh ahli politik jumud dan dininabobokan oleh kegemilangan lama (old glory).
Akhirnya, kekuatan sesebuah parti tidak ditentukan oleh label yang dilemparkan oleh lawan, tetapi oleh keupayaannya mengadaptasi dan mengekalkan prinsip sambil menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa.
RAMLEE WAHAB adalah setiausaha Bahagian Bersatu, Sri Gading, Batu Pahat, Johor
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
