Naib Presiden PKR Amirudin Shari tetap menganggap usaha mengehadkan tempoh perdana menteri kepada 10 tahun sebagai langkah bersejarah walaupun gagal dalam pengundian di parlimen semalam.
“Langkah berani ini merupakan kali pertama mana-mana perdana menteri ataupun presiden sebuah parti membawa cadangan seumpama ini ke Dewan Rakyat.
“Dan ini mencerminkan komitmen perdana menteri dan PKR kepada reformasi yang diterjemahkan kepada usaha yang sebenar,” katanya.
Dalam undian malam tadi, RUU itu disokong oleh 146 anggota parlimen, ketika 44 orang berkecuali dan 32 lagi tidak hadir.
Terdahulu, Ketua pembangkang Hamzah Zainudin (Bebas-Larut) berhujah bahawa had tempoh jawatan perdana menteri akan menghakis kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, kerajaan menolak dakwaan itu kerana ia hanya untuk memperkemas prinsip akauntabiliti pada jawatan eksekutif tertinggi tanpa mengubah struktur pelantikan.

Dalam kenyataan pagi ini, Amirudin berkata kesemua 31 anggota parlimen PKR merupakan sebahagian daripada 146 anggota parlimen yang menyokong pindaan perlembagaan itu.
Bagaimanapun, katanya, dengan ketidakhadiran 32 anggota parlimen serta 44 anggota parlimen pembangkang yang tidak mengundi, ia belum dapat direalisasikan.
“Ini menunjukkan bahawa proses dan tanggungjawab islah yang merupakan jiwa parti PKR tidak boleh dijayakan secara solo tetapi adalah tanggungjawab kolektif pelbagai pihak,” katanya.
Menteri besar Selangor merangkap anggota parlimen Gombak juga melihat sisi positif daripada keputusan semalam.
“Semalam kita mungkin telah kehilangan peluang emas untuk merealisasikan mandat rakyat dengan hanya dua undi, tetapi keputusan ini turut menggambarkan bahawa tiada anggota parlimen yang menolak cadangan untuk tempoh perdana menteri dihadkan kepada 10 tahun,” katanya.
Dia turut menyindir PN sebagai belum berani untuk meletakkan kepentingan nasional melebihi kepentingan politik.
“Pada masa yang sama, ini turut merupakan peringatan kepada semua pihak dalam Kerajaan bahawa setiap anggota parlimen tidak boleh leka akan tanggungjawab hakiki, dan kita tidak seharusnya membenarkan satu insiden untuk melunturkan semangat kepada agenda reformasi demi kebaikan rakyat dan negara yang kita cintai ini,” katanya.
