PAS hari ini dilihat cuba ‘mengendurkan kegembiraan’ pemuda parti itu ekoran gagalnya usaha kerajaan menggubal Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh seseorang menjadi perdana menteri semalam.
Dalam hantaran ringkas di media sosial, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, menawarkan sisi pandang yang lain bagi menjelaskan mengapa parti itu memilih untuk tidak menyokong usul berkaitan di Dewan Rakyat.
Dia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata Putrajaya sepatutnya tidak terburu-buru atau sambil kewa sebelum membentang dan mengusulkan pindaan tersebut sekali gus mengharapkan ia disokong semua.
Sebaliknya, kata Ahmad Fadhli, kerajaan melaksanakan perbincangan terlebih dulu sebelum langkah tersebut dilaksanakan.
“Pindaan perlembagaan yang dibentangkan semalam gagal diluluskan.
“Sepatutnya kerajaan melaksanakan rundingan yang terperinci dan menyeluruh bersama parti-parti yang menjadi pemegang taruh di dalam parlimen, bukannya sekadar mengadakan taklimat sepintas lalu sebelum mengharapkan sokongan,” katanya.
Semalam kerajaan gagal mendapatkan sokongan dua per tiga anggota Dewan Rakyat bagi meluluskan rang undang-undang (RUU) berkaitan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, sekali gus meminda perlembagaan berkaitan isu tersebut.
Kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 148 anggota Dewan Rakyat menyokongnya.
Kerajaan ambil iktibar
Bagaimanapun apabila undian secara belah bahagi dibuat, blok kerajaan mendapat sokongan seramai 146 ahli, manakala 44 yang lain memilih untuk berkecuali.
Baki 32 lagi anggota parlimen pula tidak hadir.
Sebahagian daripada mereka terdiri daripada ahli parlimen kerajaan seperti M Saravanan (BN-Tapah) dan Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong). Turut tidak hadir ialah bekas ahli parlimen Bersatu yang sudah menyokong kerajaan, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bebas-Bukit Gantang).
Kegagalan usul itu menyaksikan Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menunjukkan sikap gembiranya dengan memuat naik hantaran di media sosial: “Dalam sejarah hari ini kerajaan Madani tak cukup sokongan 2/3 majoriti parlimen! Allahuakbar!!!”
Dalam hantaran lain dia yang juga Ketua Pemuda PN menulis: “PMX (Anwar Ibrahim) hadir sendiri bentang usul berkenaan. Tetapi nampaknya ada ahli parlimen kerajaan tidak hadir/tidak menyokong usul yang dibawa oleh PMX hingga menyebabkan tak cukup bilangan 2/3 majoriti kerajaan Madani. Allah Maha Kuasa!”
Bagaimanapun hantaran tersebut disambut secara sinikal oleh sesetengah pihak yang menganggap keadaan yang diciptakan oleh pembangkang sebenarnya menguntungkan kerajaan.
Sesetengah pihak pula menganggap sikap tersebut membuktikan tanggapan bahawa ketika ini pembangkang memang lemah sehingga memberi kelebihan kepada Putrajaya.
Afnan Hamimi juga dalam hantaran berbeza menjelaskan kejayaan sesuatu manifesto bukan diukur pada tempoh seseorang ahli parlimen menjadi perdana menteri.
Sebaliknya kata dia situasi “rakyat yang boleh hidup dengan baik, rakyat boleh makan, ada rumah untuk berteduh, boleh pergi ke sekolah dengan selamat, harga barang terkawal dan pentadbiran yang adil.”

Menurut Ahmad Fadhli kerajaan wajar mengubah pendekatan mereka dalam menangani rancangan berkaitan usul yang dibawa ke parlimen.
Katanya sesuatu usul yang dibawa wajar dilaksanakan dengan keikhlasan.
“Seruan saya kepada kerajaan ialah supaya merendah diri, membuka ruang rundingan yang lebih luas dan menghormati peranan semua pihak dalam parlimen.
“Reformasi institusi hanya akan berjaya jika dibina atas asas musyawarah dan keikhlasan, bukan paksaan angka semata-mata,” katanya.
Dia yang sebelum ini pernah diangkat sebagai Ketua Pemuda PAS turut menjangkakan satu lagi usul yang dijanjikan kerajaan tidak akan dibentangkan hari ini.
“Saya yakin rang undang-undang berkaitan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak akan diundi pada hari ini.
“Ini menunjukkan kerajaan telah mula mengambil iktibar daripada teguran dan pandangan yang dikemukakan,” katanya.
