Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dipecat daripada Bersatu kerana didakwa memulakan rundingan dengan Umno tanpa pengetahuan parti.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mendedahkan hal itu ketika mengulas tindakan badan disiplin parti terhadap Hamzah pada satu wawancara media baru-baru ini.
Muhyiddin mendakwa Hamzah melakukan pelbagai pelanggaran dan yang paling utama dia didakwa berada di belakang satu gerakan yang memecah-belahkan parti secara dalaman.
"Kesalahan dia banyak, bertimbun sebab tu dibawa ke Lembaga Disiplin, setahu saya. Saya fikir tak wajar nak pergi teliti (beritahu) satu persatu sebab sudah ada keputusan, atas asas yang kukuh kenapa tindakan tu diambil.

“Kalau saya nak jelaskan, contoh satu bila Datuk Zahid Hamidi dalam satu perhimpunan pernah buat kenyataan bahawa dia sudah berjumpa dan berunding dengan PAS dan Bersatu.
“Ada yang kaitkannya Bangkok Move or something like that.
“Dalam kumpulan chat tu saya tanya: Who meet Zahid? Siapa jumpa Zahid? Siapa jumpa?
"Tak terjawab tapi saya ada maklumat yang sahih, Hamzah jumpa Zahid. Dalam parti kita ni, ada disiplin, ini isu besar," kata Muhyiddin seperti dipetik Sinar Harian.

Bekas perdana menteri itu dilaporkan memberikan wawancara eksklusif kepada beberapa media tempatan terpilih di ibu pejabat Bersatu pada Isnin.
Muhyiddin turut mendakwa Hamzah merancang untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan Umno dan membentuk kerajaan.
Sementara itu, Berita Harian melaporkan Muhyiddin menggesa PAS menamakan calon bagi jawatan ketua pembangkang secepat mungkin.
Katanya, penting untuk PN menggantikan Hamzah dengan segera memandangkan dia sudahpun dipecat daripada Bersatu.

Ahli parlimen Pagoh itu turut menegur Hamzah kerana enggan melepaskan jawatan berkenaan dan berkata beliau sepatutnya menunjukkan sedikit rasa rendah diri serta berundur tanpa perlu diminta.
"Dia (Hamzah) sepatutnya mempunyai rasa malu dan mengambil pendirian untuk mengundurkan diri daripada jawatan terbabit.
"Namun disebabkan masih lagi kekal di situ, pimpinan PAS perlu membuat keputusan segera kerana hasil Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sebelum ini sudah memutuskan berhubung kekosongan jawatan ketua pembangkang itu," kata Muhyiddin.
