Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU had PM: Kami laksanakan tugas semak dan imbang, kata PAS
Diterbitkan:  Mar 3, 2026 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Seorang pemimpin kanan PAS hari ini menjelaskan, pembangkang sudah melaksanakan tugar mereka sebagai mekanisme semak dan imbang sepanjang proses meminda perlembagaan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, memberitahu menjelang sesi pengundian bagi meluluskan usul tersebut di Dewan Rakyat semalam, tempat duduk blok kerajaan dilihat penuh.

Malah Syahir berkata pihak kerajaan – yang turut disertai Perdana Menteri Anwar Ibrahim, timbalannya serta anggota kabinet – dilihat begitu yakin rang undang-undang (RUU) tersebut akan diluluskan.

“Namun setelah kertas undi dijumlahkan, pengumuman speaker menyebabkan dewan terdiam sejenak. Kerajaan tidak cukup dua undi, 146/148,” tulisnya di media sosial petang ini.

Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS memberitahu dia difahamkan ada lapan ahli parlimen kerajaan tidak hadir semasa proses pengundian dijalankan sehingga RUU tersebut tidak diluluskan.

“Di pihak pembangkang, kami telah melaksanakan tugas ‘semak dan imbang’ di parlimen.

“Tugas kerajaan ialah untuk memastikan semua ahli parlimen mereka hadir supaya tidak berlaku situasi ‘kerajaan kalah tetapi pembangkang yang dipersalah,” katanya lagi.

Semalam RUU bagi mengehadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun gagal melepasi undian belah bahagi apabila kerajaan gagal memperoleh undi mencukupi – sebanyak dua per tiga daripada 222 jumlah keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.

Semua hujah ditolak

Undi dua per tiga diperlukan kerana cadangan tersebut melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Semua pindaan pada perlembagaan mesti mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga anggota Dewan Rakyat.

Dalam keadaan sekarang, jumlah dua per tiga ialah 148 undi.

Pemuda PAS meraikan kegagalan berkenaan kerana ia menunjukkan kerajaan tidak memiliki sokongan majoriti mutlak untuk meluluskan RUU berkenaan.

Syahir berkata pendirian pembangkang berhubung RUU tersebut jelas sejak awal iaitu “bersetuju bersyarat”.

Kerana itu, katanya, blok pembangkang memberikan pelbagai cadangan balas kepada kerajaan namun ia tidak diendahkan sehingga mereka mengambil pendirian berkecuali dan tidak mengundi.

Antara yang dibangkitkan, kata Syahir, ialah melibatkan Perkara 159(5) dan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tentang kemuliaan, kebesaran dan kekuasaan Raja-Raja.

Selain itu, katanya, perkara 43(2) yang melibatkan hemat budi bicara (prerogative) Yang di-Pertuan Agong melantik seorang perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dia yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS menambah, jika kerajaan serius mahu menangani isu penumpuan kuasa berlebihan kepada perdana menteri, mereka mesti menekankan aspek pengasingan tugas dengan menteri kewangan.

“Namun dalam sesi penggulungan, semua hujah ini ditolak.

“Malah menteri menyatakan pindaan ini dibentangkan sepenuhnya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan dengan penghormatan yang tidak berbelah bagi terhadap institusi raja-raja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS