Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamaliah bidas MIC tangguk di air keruh isu penduduk bergelap seminggu
Diterbitkan:  Mar 5, 2026 3:28 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin membidas MIC yang disifatkannya cuba menangguk di air keruh dengan memutar belit isu gangguan bekalan elektrik dan air di Rumah Pangsa Kayu Ara, di Bandar Utama, Petaling Jaya demi kepentingan politik.

Menurutnya, krisis tersebut yang berpunca daripada kerosakan papan suis utama bangunan itu sejak 25 Feb lalu, kini telah diselesaikan sepenuhnya melalui peruntukan pejabat Adun Bandar Utama dan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

"Saya sangat kecewa dengan tindakan MIC yang sengaja bermain politik dengan menunggang isu ini dan cuba menawarkan 'bantuan' yang sebenarnya tidak akan dapat menyelesaikan masalah teknikal di situ.

"MIC tahu 'genset' tidak dapat disediakan kerana kerosakan melibatkan papan suis utama yang perlu dibaiki, malah chargerman (penyelia elektrik) yang mereka bawa sendiri pun telah awal-awal mengakui tidak mampu melakukan kerja tersebut.

"Saya benar-benar benci apabila politik kotor seperti ini terus dijadikan modal dan saya tampil hari ini untuk 'call out' tindakan tidak bertanggungjawab mereka," kata Jamaliah dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Sebelum ini, penduduk di Rumah Pangsa Kayu Ara terpaksa menempuh detik sukar apabila 265 keluarga hidup tanpa bekalan elektrik selama seminggu.

Ketua Pemuda MIC, K Arvind, yang meninjau keadaan itu, menyatakan kesal dan mendakwa pihak berkuasa lewat menyelesaikan isu berkenaan.

"Walaupun pihak TNB telah menyediakan set generator (genset) sementara untuk lif, ia masih tidak mencukupi untuk memulihkan bekalan ke unit-unit rumah kerana masalah teknikal di bawah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB).

"Saya bukan mahu bermain politik, tetapi ini soal nyawa dan kebajikan (penduduk). Bayangkan dalam bulan Ramadan ini, makanan rosak, anak-anak susah hendak ke sekolah, dan cuaca pula panas terik.

"Kami sedia membantu membawa chargeman sendiri, namun JMB menyatakan terdapat prosedur rumit melibatkan kelulusan Pejabat Tanah dan isu insurans yang melambatkan proses pembaikan," kata Arvind kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Jamaliah yang juga pemimpin DAP berkata langkah penyelesaian yang diambil pihaknya adalah langkah konkrit yang bersifat praktikal demi memastikan masalah penduduk ditangani segera dan tuntas.

Menurutnya, campur tangan pihaknya juga mempercepatkan proses penyelesaian itu.

"Penyelesaian ini bukan sekadar cakap kosong untuk tunjuk hero seperti MIC yang mengambil kesempatan daripada kesulitan yang berlaku.

"Kalau MIC tak tahu, ini dinamakan good governance di mana proses yang biasanya memakan masa dua hingga empat minggu telah saya pendekkan kepada dua hari bekerja sahaja atas faktor kecemasan.

"Malah, saya sendiri telah menghubungi Pegawai Daerah Petaling dan Pegawai Kewangan Negeri bagi memastikan kelulusan dokumen dan kerja pembaikan dapat dimulakan serta-merta pada hari Isnin," katanya.

Katanya, dia telah menanggung RM20,000 atau 80 peratus daripada kos pembaikan keseluruhan, manakala baki RM5,000 ditanggung oleh pihak JMB.

Tambahnya, pasukan dari pejabat Ahli Parlimen Damansara turut dikerahkan untuk membantu logistik bekalan air sementara sementara menunggu kontraktor G1 menyiapkan kerja-kerja teknikal pada malam Selasa.

"Saya harap selepas ini MIC menginsafi amalan seperti ini dan jangan sekadar mengambil kesempatan saat orang dalam kesulitan kerana ia hanya menjejaskan rekod prestasi mereka sendiri.

"Sekiranya MIC ikhlas, mereka sepatutnya menyemak fakta terlebih dahulu dengan JMB atau pihak saya sebelum bertindak memberikan maklumat tidak tepat sehingga mengeruhkan keadaan.

"Rakyat memerlukan penyelesaian sebenar, bukan sekadar persepsi atau kenyataan media yang tidak berasas serta hanya memberikan harapan palsu kepada penduduk," katanya.

Rumah Pangsa Kayu Ara merupakan kawasan perumahan kos rendah yang telah lama menghadapi cabaran penyelenggaraan fasiliti.

Rekod menunjukkan papan suis utama bangunan tersebut tidak diselenggara secara berkala sejak 2007, yang akhirnya menjadi punca utama kepada insiden kebakaran litar pintas tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS