Bersatu hari ini mempertahankan kenyataan presidennya, Muhyiddin Yassin, berhubung status Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang tidak semestinya menjadi calon perdana menteri untuk PN.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata pendirian yang dizahirkan Muhyiddin berhubung isu tersebut memang tepat.
Hal itu kerana, katanya, isu calon perdana menteri mewakili gabungan itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN pada 22 Feb lalu.
Malah, katanya, pendirian Muhyiddin dan Bersatu itu juga selari dengan pandangan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mengesahkan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN adalah untuk memperkasa gabungan berkenaan, selain membina semula kekuatan akar umbi.
Malah, kata Tun Faisal, Tuan Ibrahim sendiri mengesahkan isu poster boy sebagai calon perdana menteri tidak menjadi pertimbangan PAS.
Pada masa sama Tun Faisal mencadangkan kaedah yang patut diambil oleh PAS jika mereka berpendapat Ahmad Samsuri wajar diangkat sebagai calon perdana menteri.
“Soal calon perdana menteri bagi PN perlu dibincang dan diputuskan secara konsensus oleh Majlis Presiden PN.
“Cuma dari segi proses, bawalah (cadangan tersebut) ke perhimpunan agung parti masing-masing terlebih dulu sebelum dicadangkan kepada Majlis Presiden PN.
“Pencalonan nama Ahmad Samsuri sebaiknya melalui proses yang sama, iaitu dicadangkan oleh PAS sebagai calon perdana menteri sebelum diangkat kepada Majlis Presiden PN untuk diputuskan secara konsensus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dibahas, diterima PAT
PN sebelum ini berdepan dengan isu siapa yang sepatutnya mengepalai gabungan berkenaan selepas Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai pengerusi ekoran isu yang melanda kerajaan Perlis pada tahun lalu.
Isu tersebut akhirnya diselesaikan kira-kira dua bulan kemudian apabila PN bersetuju melantik Ahmad Samsuri sebagai pengganti Muhyiddin.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman serta bekas Bendahari Agung PN dilantik sebagai Pengerusi PN pada 22 Feb lalu.
Bagaimanapun terbaru, timbul pula isu calon perdana menteri yang ingin ditawarkan oleh PN.
Semalam dalam temu bual dengan portal berita, Muhyiddin memberitahu, kedudukan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN tidak menjadikan pemimpin kanan PAS berkenaan merupakan calon perdana menteri secara automatik.

Hari ini Ahmad Samsuri memberikan respon bahawa Muhyiddin juga tidak lagi menjadi calon perdana menteri.
Pada masa sama Ahmad Samsuri menjelaskan keutamaan PN ketika ini ialah memperkukuhkan gabungan tersebut bagi menghadapi PRU akan datang.
Menurut Tun Faisal, Bersatu sudah melaksanakan tanggungjawab mereka berhubung nama calon perdana menteri apabila membawa isu tersebut ke perhimpunan agung tahunan (PAT) mereka pada tahun lalu.
“Perkara ini telah diusul, dibahas dan diputuskan dalam PAT 2025 dan keputusan sebulat suara ialah calon perdana menteri ke-11 bagi BERSATU ialah Muhyiddin.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan merit, iaitu pengalaman panjang beliau di peringkat pusat dan negeri, serta keupayaan beliau yang teruji dalam menghadapi krisis dan hasil kaji selidik penerimaan rakyat,” katanya.
Tun Faisal juga berpendapat, peranan Pengerusi PN adalah lebih kepada aspek pentadbiran dan pengurusan operasi harian saja.
“Ini konsisten dengan pandangan Muhyiddin dan Tuan Ibrahim,” katanya.
