mk-logo
Berita
Samsuri jawab Muhyiddin: Tan Sri juga bukan lagi calon PM
Diterbitkan:  Mar 5, 2026 3:22 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Pengerusi baru PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini secara bersahaja mempunyai cara tersendiri untuk membalas kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang menyentuh mengenai isu calon perdana menteri gabungan itu.

Ahmad Samsuri berkata dia mendapat banyak pertanyaan daripada wartawan mengenai kenyataan dibuat bekas perdana menteri berkenaan.

Menteri Besar Terengganu itu menjelaskan keutamaan PN ketika ini ialah memperkukuhkan gabungan berkenaan bagi menghadapi PRU, selain memantapkan muafakat di seluruh negara.

Justeru dia memberi mesej bahawa siapa pun calon perdana menteri PN, ia bukan suatu keutamaan buat masa ini.

“Yang pasti Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bukan lagi calon PM,” katanya dalam satu hantaran ringkas di Facebook pada awal petang ini.

Dia berkata demikian mengulas laporan media memetik kenyataan Muhyiddin semalam.

Dalam temu bual dengan media, Muhyiddin memberitahu pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baru tidak bermakna Naib Presiden PAS berkenaan secara automatik akan diangkat sebagai calon perdana menteri.

Tegasnya pelantikan jawatan tertinggi gabungan tersebut dan penentuan calon nakhoda kerajaan bagi PRU ke-16 adalah dua perkara yang berbeza.

Menurut Muhyiddin, setakat ini komponen PN belum memulakan sebarang perbincangan rasmi mengenai calon perdana menteri.

Pada 22 Feb lalu, mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN memutuskan Ahmad Samsuri dipilih sebagai pengerusi baru PN bagi menggantikan Muhyiddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS