Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes halang tangkap anjing: Warga emas dilepas tanpa dibebaskan

Seorang lelaki warga emas dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi menangkap anjing liar, tiga tahun lalu.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap Patrick Khoo yang didakwa menghalang penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) daripada melaksanakan tugas.

Salah seorang peguamnya, Rajsurian Pillai, berkata keadaan mental Khoo kini semakin merosot.

“Keadaan mentalnya tidak baik. Dia tidak dapat mengingati banyak perkara.

“Menurut laporan hospital yang dibacakan di mahkamah, kemerosotan mentalnya berpunca daripada strok yang dialaminya.

“Dia kini ditempatkan di sebuah rumah penjagaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Leong Hui, dilaporkan memaklumkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya bahawa Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menarik balik pertuduhan terhadap Khoo selepas meneliti laporan perubatannya.

“Kami telah menyemak kes dan laporan perubatan, dan arahan daripada AGC adalah untuk menarik balik (pertuduhan),” katanya.

Khoo sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang anggota MBPJ, Azizul Azzim Norehan, daripada menjalankan tugas ketika operasi menangkap anjing liar di sebuah rumah di Taman Kanagapuram pada jam 9 malam, 22 Mac 2023.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 31 Mac 2023.

MBPJ kemudiannya menarik balik aduan terhadap Khoo, tetapi kes itu tetap diteruskan di mahkamah.

Sebelum itu, polis menyiasat rakaman tular menunjukkan pertengkaran antara penguatkuasa MBPJ dan Khoo, yang didakwa cuba melindungi anjing liar dengan membenarkan haiwan itu masuk ke premisnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS