Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Diacu pistol’: Isteri Tei mohon IGP dedah perkembangan kes
Diterbitkan:  Mar 7, 2026 1:59 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Seorang peguam yang mewakili isteri ahli perniagaan Albert Tei telah menghantar surat guaman kepada Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail bagi memohon pihak berkuasa memberikan perkembangan terkini berhubung siasatan terhadap serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediaman pasangan itu di Puchong tahun lalu.

Mahajoth Singh mendakwa polis serta pegawai penyiasat yang mengendalikan kes tersebut gagal memberikan sebarang kemas kini kepada isteri Tei, Lee Pei Rie, sejak dia membuat laporan mengenai cara operasi SPRM dijalankan pada November lalu.

Lee mendakwa pegawai antirasuah menggunakan kekerasan berlebihan, termasuk mengacukan pistol terhadap keluarganya.

“Kendatipun hampir empat bulan telah berlalu dari tarikh laporan polis tersebut namun sehingga ke hari ini pegawai penyiasat kes mahupun Ketua Polis Balai IPD Sepang langsung tidak memberikan sebarang perkembangan mengenai kes ini.

"Apatah lagi apabila Ketua Polis Selangor Datuk Pahlawan Shazeli bin Datuk Kahar telah pada 15 Disember 2025 memberikan jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara professional dan telus.

"Oleh yang demikian, kami dengan rendah diri memohon agar pihak Yang Berbahagia Datuk Seri mengarahkan pihak-pihak yang berkenaan untuk memberikan status penyiasatan terperinci, kepada anak guam kami, dengan kadar segera,” kata Mahajoth, yang mewakili firma guaman Abd Halim Ushah and Associates.

Pada 28 November tahun lalu, sepasukan pegawai SPRM lengkap berpakaian taktikal — termasuk jaket kalis peluru dan balaclava — menyerbu kediaman Tei sebelum mengiringinya masuk ke dalam sebuah sedan hitam tanpa tanda pengenalan.

Lee kemudian membangkitkan kebimbangan mengenai cara operasi tersebut dijalankan, dengan mendakwa pasukan serbuan memecah masuk ke rumah mereka melalui pintu utama sebelum beberapa anggota menggari Tei.

Lee bersama para peguamnya.

Dia juga membuat laporan polis dengan mendakwa pegawai SPRM mengacukan pistol kepada mereka berdua semasa serbuan tersebut.

Menurut laporan itu, Lee bergegas turun ke ruang tamu pada jam 10 pagi selepas menyedari sekumpulan individu telah memecah masuk ke dalam rumah mereka, dan mendapati suaminya terbaring di lantai bersama pegawai SPRM yang bersenjata.

“Salah seorang daripada individu tersebut menyedari kehadiran saya lalu mengacukan pistol kepada saya.

“Ketika itu saya sedang memegang telefon untuk merakam kejadian tersebut kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga saya yang berada di dalam rumah semasa insiden itu berlaku.

“Individu bersenjata yang mengacukan pistol kepada saya itu kemudian memaksa saya menyerahkan telefon,” katanya.

Lee mendakwa telefonnya diserahkan kepada seorang pegawai lain yang memaksanya membuka kunci peranti tersebut sebelum video rakaman kejadian dipadamkan.

Dia turut mendakwa pegawai tersebut kemudian mengarahkannya membawa semua penghuni rumah, kecuali seorang kanak-kanak yang sedang sakit, untuk berkumpul di ruang tamu. Mereka kemudian dipaksa membuka kunci semua telefon yang ditemui oleh pegawai SPRM.

Pegawai SPRM itu juga didakwa merampas dekoder CCTV rumah mereka sebelum membawa Tei keluar pada jam 10.50 pagi, sebelum kembali semula kira-kira 10 minit kemudian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini menafikan dakwaan bahawa pegawainya mengacukan senjata ke arah kepala Tei semasa penahanan dan menegaskan tangkapan itu dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS