Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelaburan RM1.11 bilion: Saya pun tunggu bila SPRM nak panggil saya - Rafizi
3

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata SPRM sehingga kini belum memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan melibatkan perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing.

Katanya, walaupun siasatan telah berlangsung lebih sebulan, setakat ini tiada sebarang maklum balas diterima daripada SPRM sama ada melalui panggilan telefon, emel mahupun media sosial.

“Saya pun sedang menunggu bila dia (SPRM) nak panggil saya, bila dia nak ambil kenyataan saya. Sehingga sekarang masih belum ada apa-apa maklum balas ataupun perintah daripada SPRM.

“Pandangan saya ialah kerana setakat siasatan kali ini, setakat inilah, memang sukar untuk menunjukkan ada apa-apa penyelewengan.

“Kerana daripada awal, SPRM mengatakan bahawa ini bukanlah pasal wang," katanya kepada media selepas melancarkan Program Pinjam Gajet oleh Ayuh Malaysia di Subang, hari ini.

Menurut Rafizi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dalam kenyataan awalnya sebelum ini menjelaskan isu berkenaan berkaitan dengan pelanggaran peraturan.

"Jadi kalau bersabit dengan pelanggaran peraturan, sebelum mereka boleh memanggil saya, mereka kena cari bukti dulu pelanggaran peraturan.

“Maksudnya selagi mereka tak panggil saya, maksudnya mereka belum ada kes yang kukuh untuk panggil saya. Jika saya dituduh mengelirukan kabinet atau melakukan kecuaian, mereka kena ada bukti itu," kata Rafizi.

SPRM sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings yang dianggarkan bernilai RM1.11 bilion.

Ia susulan penelitian SPRM terhadap maklumat diberikan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung seorang bekas menteri kanan sebuah kementerian.

Siasatan awal SPRM mendapati perjanjian mega tersebut dipercayai dimeterai secara tergesa-gesa oleh Kementerian Ekonomi.

Rafizi pada Khamis lalu mendedahkan peranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam isu pelaburan kontroversi itu susulan SPRM memohon bantuan awam mengesan bekas pembantunya, James Chai.

Dia turut mendakwa, Anwar sendiri meminta mereka menyusun pertemuan dengan Arm Holdings.

Dalam pada itu Rafizi mendakwa, siasatan terhadap isu tersebut berkemungkinan untuk mengalih perhatian daripada isu lain yang melibatkan Azam.

Jelasnya, jika benar terdapat kes kukuh terhadapnya, dia percaya tindakan seperti penahanan reman dan pertuduhan sudah lama dilakukan berdasarkan corak tindakan SPRM dalam kes sebelum ini.

“Kalau betul ada sesuatu yang boleh disiasat dan didakwa, saya dah lama kena reman. Tetapi, kes ini sudah lebih sebulan dan saya masih belum dipanggil untuk memberi satu patah kenyataan pun,” katanya.

Mengulas kemungkinan individu lain dipanggil membantu siasatan, Rafizi berkata, perkara itu bergantung sepenuhnya kepada SPRM.

Bagaimanapun, bekas timbalan presiden PKR itu menyifatkan beberapa pemimpin kanan kerajaan turut terlibat dalam program berkenaan termasuk Anwar dan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
3
ADS