Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi dedah dakwaan peranan PM dalam isu pelaburan RM1 bilion
Diterbitkan:  Mar 5, 2026 11:13 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mendedahkan peranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam isu pelaburan RM1 bilion yang sedang disiasat SPRM.

Rafizi, bekas timbalan Anwar dalam PKR yang kalah dalam pemilihan lalu, berkata Anwar sendiri yang meminta mereka menyusun pertemuan dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings.

“Yang terbabit mesyuarat dengan CEO (ketua pegawai eksekutif) dan pemilik ARM pun PMX sendiri.

“Yang pengerusikan mesyuarat jemaah menteri berkali-kali bincang dan luluskan perkara ini pun PMX sendiri.

“Yang rasmikan usahasama ini pun PMX sendiri,” katanya di X.

Justeru, katanya, Anwarlah orang pertama yang perlu dicari oleh SPRM jika betul ada penyelewengan.

Rafizi berkata demikian ketika mengulas tindakan SPRM memohon bantuan awam bagi mengesan bekas pegawainya James Chai semalam.

“Hanya kerana plot politik dalam PKR tak menjadi macam yang PMX nak, semua jentera kerajaan digerakkan kejar seorang budak,” sindirnya.

Rafizi juga berkata akan memberi respons lanjut berkaitan “kegilaan” mencipta naratif terhadap Chai “tengah hari sikit”, hari ini.

James Chai

Chai sendiri semalam meluahkan rasa kecewanya terhadap tindakan SPRM dan “bosan” dengan penggunaan sumber negara bagi tujuan itu.

SPRM menyiasat dakwaan Rafizi mempercepatkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings.

Chai adalah seorang daripada beberapa bijak pandai yang dilantik Rafizi bagi membantunya di Kementerian Ekonomi.

Lelaki terbabit merupakan graduan Universiti Oxford dalam bidang undang-undang dan teknologi, selain turut dikenali sebagai seorang penulis.

Menurut Chai, dia ditugaskan oleh Rafizi untuk meneroka peluang kerjasama dengan Arm Holdings kerana pernah bertanggungjawab ke atas Sidang Kemuncak KL20 2024 dan kebanyakan inisiatif berkaitan teknologi kementerian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS