Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kontroversi Azam Baki bukti Anwar gagal reformasi' - Muda, Pejuang

Dakwaan isu integriti terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan kemuncak kegagalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan agenda reformasi yang pernah dijanjikannya, tegas Muda dan Pejuang.

Ketika melancarkan kempen bagi meningkatkan kesedaran awam serta menuntut akauntabiliti berhubung isu melibatkan agensi antirasuah itu dan Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki, Muda dan Pejuang berhujah langkah tersebut tidak perlu sekiranya Anwar menunaikan janji-janji sebelum ini.

Menyuarakan kebimbangan bahawa Azam mungkin terus memegang jawatan dalam SPRM sekiranya Putrajaya mengabaikan tekanan awam, pemangku presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz berkata kempen tersebut meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Anwar untuk menjawab tuntutan yang dibangkitkan.

“Untuk kempen Tangkap Azam Baki saya cuma nak ulas satu perkara sahaja iaitu untuk kempen ini kita ingin meletakkan beban seratus peratus untuk menjawab segala tuntutan dalam kempen ini ke atas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kempen ini adalah manifestasi terhadap kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan segala janji-janji reformasi institusi yang telah dilaporkan daripada zaman dia pemangkang lagi

"Kita semua tak perlu buat kempen ini CSO tak perlu turun buat protes di jalanan, peguam-peguam tidak perlu menuntut di pejabat-pejabat polis sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim tak sambung kontrak Azam Baki.

“Dari tahun 2023 sehinggalah ke tahun 2024 sehinggalah ke tahun 2025," kata Amira lagi.

Anwar sebelum ini menerima kritikan, termasuk daripada anaknya sendiri yang juga timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar, susulan lanjutan tempoh perkhidmatan Azam yang mencetuskan kontroversi.

Pada Disember tahun lalu, Azam mengakui lanjutan kontraknya secara berulang kali menerima kritikan daripada pihak tertentu dan memberi bayangan tempoh perkhidmatannya mungkin berakhir apabila kontraknya tamat pada Mei tahun ini.

Amira, yang juga Adun Puteri Wangsa, turut menegaskan ketika muncul laporan terbaru mengenai dakwaan pegangan saham Azam, maklum pertama Anwar adalah mempertahankan pegawai tertinggi antirasuah negara itu.

Sehubungan itu, dia mengulangi keraguan yang sebelum ini dibangkitkan pelbagai pihak terhadap kebebasan jawatankuasa khas diketuai Peguam Negara Dusuki Mokhtar yang ditugaskan menyiasat isu

“Belum ada apa-apa siasatan, belum ada apa-apa usaha, begitu sahaja perdana menteri dah sucikan Azam Baki.

"Kerana katanya Azam Baki itu rajin. Jadi kalau kita tahu bahawa perdana menteri ini begitu kasih dan begitu sayang kepada Azam Baki, kita pun tak tahu betapa telus jawatankuasa yang telah ditubuhkan.”

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid Ali, yang turut hadir pada sidang media hari ini, menyuarakan pandangan serupa dengan mempersoalkan jika ketiadaan maklum balas daripada jawatankuasa tiga anggota itu merupakan sebahagian taktik untuk mengalihkan perhatian awam.

Selain Dusuki, dua lagi anggota jawatankuasa itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican. Ketiga-tiga mereka melapor kepada perdana menteri.

Pada 6 Mac lalu, Anwar berkata dia masih belum menerima laporan jawatankuasa tersebut, yang menurutnya perlu diteliti terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan gesaan supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung laporan Bloomberg mengenai dakwaan kewujudan “mafia korporat” dalam SPRM.

Rafique hari ini turut menegaskan usaha Muda dan Pejuang meningkatkan kesedaran awam melalui Kempen Tangkap Azam Baki bukan semata-mata bermotifkan keinginan menawan Putrajaya.

Kempen tersebut, yang dijangka melibatkan lebih banyak parti dan NGO pada masa akan datang, difahamkan merangkumi siri jelajah di seluruh negara serta kandungan media sosial bagi menerangkan kepada rakyat isu berkaitan SPRM dan Azam.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir pula berkata walaupun terdapat ramai pegawai SPRM yang mengekalkan integriti ketika menjalankan tugas namun tindakan tidak wajar oleh segelintir pegawai kanan mencetuskan persepsi negatif terhadap agensi itu.

Dia mendakwa siasatan terpilih terhadap salah laku tertentu telah mewujudkan persepsi wujudnya layanan dua darjat.

“Siapa yang menentang kerajaan akan disiasat, diambil tindakan, bukan setakat yang tentang kerajaan saja, yang berada dalam kerajaanpun, kalau tentang perdana menteri akan diambil tindakan

"Yang sokong kerajaan, yang beri kelebihan kepada politik kerajaan khususnya perdana menteri, yang itu bebas dari diambil tindakan,” katanya.

Mukhriz turut merujuk kepada keputusan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bagi 47 pertuduhan rasuah melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS