mk-logo
Berita
'Mafia korporat SPRM': Anwar dengar siapa kalau abai suara Izzah, MP PKR - Hassan

Ahli parlimen PKR Hassan Abdul Karim menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden parti itu supaya tidak mengabaikan kebimbangan yang dibangkitkan berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wakil rakyat Pasir Gudang itu berkata jika Anwar terus memekakkan telinga terhadap rungutan tersebut — termasuk daripada anaknya sendiri yang juga Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar — maka perdana menteri boleh berdepan risiko kehilangan legitimasi politik sebagai ketua kerajaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Hassan menegaskan legitimasi seorang perdana menteri datang daripada sokongan ahli parlimen dan parti politik, termasuk parti yang dipimpinnya sendiri.

“Legitimasi seorang perdana menteri dari segi politik datangnya dari sokongan parti politiknya dan juga gabungan parti politik yang dipimpinnya seperti PKR dan PH.

“Dari segi undang-undang perlembagaan legitimasi seorang Perdana Menteri datang daripada ahli parlimen parti politiknya dan parti gabungan serta ahli-ahli parlimen yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi seorang perdana menteri.

“Jika kepercayaan ahli-ahli parlimen tidak dihiraukan, tidak dipedulikan akhirnya akan berbangkit persoalan legitimasi itu sendiri.

“Jadi sebelum sampai ke tahap itu maka PM Anwar Ibrahim janganlah berdolak-dalik. Bertindaklah untuk selamatkan negara Malaysia ini dari angkara mafia dan rasuah,” katanya.

Hassan mengulas kenyataan Nurul Izzah pada Sabtu lalu yang menuntut penjelasan berhubung dakwaan kewujudan apa yang digelar sebagai “mafia korporat” — individu swasta yang didakwa bersekongkol dengan SPRM untuk menekan pesaing perniagaan.

Timbalan presiden PKR itu turut mengkritik cara siasatan dijalankan berhubung perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat cip Arm Holdings, khususnya berhubung tindakan SPRM mendedahkan maklumat peribadi penyelidik James Chai.

Kenyataan itu muncul sehari selepas Anwar menolak kritikan Bersih yang mendakwa SPRM telah menjadi alat politik.

Perdana menteri juga menolak dakwaan wujud pakatan dengan SPRM itu, dengan memberitahu Parlimen minggu lalu laporan media yang memetik sumber hanya akan disiasat jika terdapat asas kukuh.

Anwar turut menyifatkan gesaan DAP supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan sebagai terlalu awal, sementara menunggu siasatan kerajaan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki selesai.

Mengulas perbezaan ketara antara pendirian presiden dan timbalan presiden PKR mengenai SPRM, Hassan berkata dia menyokong penuh Nurul Izzah yang menurutnya konsisten dalam isu tersebut.

“Saya sokong pendirian Nurul Izzah yang konsisten tentang isu SPRM.

“Presiden parti kena dengar pendirian timbalan presiden parti dan juga suara lantang Rafizi Ramli dalam isu SPRM ini.

“Saya dalam parlimen telah menyuarakan hal yang sama.

“Kalau semua suara pimpinan parti PKR dan ahli parlimen PKR tidak didengar maka presiden PKR dan juga perdana menteri hendak dengar suara siapa?

“Rakan PKR dan PH iaitu DAP dengan tegas menuntut RCI diadakan untuk menyiasat segala hal berkaitan SPRM.

“Malah semua badan civil societies serta NGO seperti Bersih telah bersuara menuntut PM Anwar Ibrahim segera bertindak bukannya berdaleh dan berdrama dalam soal SPRM dan usaha negara membanteras rasuah,” katanya.

Anwar sebelum ini mempertahankan SPRM dan ketuanya Azam Baki secara konsisten, dengan menyatakan tiada pihak lain yang berani seperti beliau dalam memburu kes rasuah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS