PAS hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak membiarkan keadaan tegang susulan insiden pembakaran kenderaan milik pempengaruh media sosial S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra memaksa negara ini diisytiharkan darurat.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata tindakan tersebut jelas disifatkan sebagai perbuatan melampau yang tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berteraskan undang-undang.

“Perlu diingat bahawa apabila sesebuah negara mula bergolak dan keadaan menjadi huru-hara, akan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada kekacauan tersebut untuk mencapai agenda mereka.
“Keadaan seperti ini tidak boleh dibiarkan sehingga menjejaskan keselamatan awam serta kestabilan negara. Negara tidak boleh dibiarkan sampai ke tahap terpaksa diisytiharkan darurat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Oleh itu, semua pihak mesti bertindak secara rasional dan bertanggungjawab bagi memastikan keamanan dan kestabilan negara terpelihara, katanya.
Perbuatan melampau
Fadhli juga menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan pantas untuk menahan mereka yang bertanggungjawab menyerang rumah dan merosakkan kereta aktivis sosial itu yang lantang berkempen menentang kuil Hindu tanpa kebenaran.
“Perbuatan melampau seperti ini tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berteraskan undang-undang dan keamanan. Semua pihak serta rakyat diminta supaya kekal tenang dan tidak bertindak di luar batas kewarasan.
“Pihak berkuasa juga didesak supaya mengambil serius perkembangan ini serta melaksanakan siasatan dengan segera, telus dan menyeluruh.

“Individu atau kumpulan yang terlibat mesti dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan agar keadilan dapat ditegakkan serta menjadi pengajaran kepada pihak lain agar tidak melakukan tindakan serupa,” katanya.
Sementara itu, laporan polis turut dibuat terhadap seorang lagi aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak selepas klip video yang didakwa memaparkan dirinya menghina simbol suci agama Hindu tular di internet.
Protes di IPD Sentul
Satu protes turut diadakan di luar ibu pejabat polis daerah Sentul malam semalam, yang didakwa dihadiri oleh kira-kira 200 orang dari seluruh negara menurut pengasas Pertubuhan Perpaduan Puratchi Malaysia, K Umagandhan.

Sebelum ini, seorang pelajar universiti, S Vikneswaran, telah didakwa selepas memuat naik sekeping foto yang menghina al-Quran.
Semalam, Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan penjelasan "segera dan jelas" berhubung ketiadaan pendakwaan terhadap pihak yang mengancam untuk meruntuhkan rumah ibadat secara sepihak.
Gobind, yang juga merupakan menteri digital, mendakwa bahawa walaupun banyak laporan polis telah dibuat, seolah-olah terdapat "ketiadaan tindakan susulan sepenuhnya" daripada pihak berkuasa.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan tiga kereta Chandrasegaran dibakar dalam kejadian awal pagi tadi, di Taman Kinrara, Puchong Selangor.
Individu bertopeng bersenjatakan parang
Petang semalam, lelaki itu memuat naik video mendakwa pagar rumah dan keretanya dirosakkan individu bertopeng menggunakan parang.
Serangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth, diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam keretanya.
Chandrasegaran terkenal susulan pendirian kerasnya terhadap pembinaan kuil secara haram.
Bulan lalu, dia ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan merendah-rendahkan komuniti India dalam isu berkaitan kuil.

Kenyataan itu disifatkan sebagai bersifat menghasut, menghina dan menyakitkan hati dengan niat mengganggu ketenteraman awam serta berpotensi mendorong tindakan di luar kawalan undang-undang.
