Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LFL suarakan kebimbangan lepas CEO C4 disiasat polis

Lawyers for Liberty (LFL) memberi amaran selepas polis menyiasat Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah, berhubung satu e-mel mengandungi dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dengan mendakwa ia sebagai keterlaluan.

Pengarah Eksekutif LFL, Zaid Malek, berkata Pushpan dipanggil untuk disoal siasat selepas namanya muncul dalam satu e-mel terkait “individu amat berpengaruh” terlibat dalam usaha menggugat kerajaan melalui sebuah organisasi media antarabangsa.

Zaid yang juga peguam Pushpan berkata, mereka menjangkakan soal siasat polis itu hanya tertumpu kepada e-mel tersebut.

“Namun, berdasarkan soalan yang dikemukakan, terdapat 81 soalan keseluruhannya dan ia melangkaui skop e-mel itu,” katanya di luar Balai Polis Dang Wangi, semalam.

Zaid berkata penyiasat menyoal Pushpan mengenai latar belakang peribadi, kredibiliti, sumber pembiayaan – sama ada dia dibayar untuk kerjanya atau tidak – serta proses dia mengeluarkan kenyataan awam.

“Mereka pada asasnya menyoalnya secara mendalam mengenai peranan Pushpan sebagai seorang pakar dan sebagai CEO C4,” katanya.

Zaid tidak menyebut sebarang nama tetapi jelas meruju kepada pendedahan Bloomberg mengenai dakwaan komplot di antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan “mafia korporat” yang telah mencetuskan satu laporan polis sehingga membawa kepada siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Pushpan Murugiah

Selepas itu, balu Allahyarham Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid, menafikan dia terlibat dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

Na’imah juga berkata sebarang cubaan yang mengaitkan dirinya dengan dakwaan Bloomberg serta Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah merupakan satu penghinaan kepada wartawan yang terlibat.

Zaid menambah penyiasat juga bertanya jika Pushpan telah mengesahkan maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan dan cuba mengenal pasti sumbernya.

“Aspek yang membimbangkan ialah ini bukan sekadar mengenai namanya yang muncul dalam e-mel.

“Polis kelihatan ingin mengetahui apa yang dilakukan oleh C4 dan organisasi masyarakat sivil lain, bagaimana mereka menjalankan kerja mereka, dan siapa yang membiayai mereka,” katanya.

Isu melibatkan Azam

Dia menegaskan C4 telah beroperasi di bawah beberapa pentadbiran kerajaan dan secara tekal mengeluarkan kenyataan mengenai rasuah tanpa mengira parti mana yang memerintah.

“Itu juga benar bagi banyak organisasi masyarakat sivil. Berdasarkan apa yang kami faham, senarai individu yang disebut termasuk orang daripada CSO serta pengulas politik,” katanya.

Zaid turut mempersoalkan mengapa individu disiasat hanya kerana mengeluarkan kenyataan mengenai rasuah atau perkara yang berkepentingan awam.

“Adakah kerajaan kini cuba menentukan siapa yang boleh dianggap sebagai pakar dan siapa yang dibenarkan mengeluarkan kenyataan mengenai isu kepentingan negara?” soalnya sambil mengkritik penggunaan Seksyen 124B Kanun Keseksaan dalam siasatan tersebut yang berkaitan dengan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Zaid menyifatkan peruntukan itu sebagai “drakonian” dan melanggar kebebasan bersuara serta kebebasan berpersatuan.

“Semua ini berlaku kerana isu yang melibatkan Azam,” katanya.

Zaid turut menekankan bahawa salah satu soalan yang diajukan kepada Pushpan ialah sama ada kenyataannya ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Azam, atau SPRM.

“Anwar, Azam atau SPRM bukanlah demokrasi berparlimen dalam maksud undang-undang di bawah Seksyen 124B.

“Jika logiknya hanya kerana mengeluarkan kenyataan negatif terhadap kerajaan dianggap sebagai niat untuk menjatuhkan kerajaan, maka sesiapa sahaja yang mengkritik kerajaan boleh disiasat di bawah Seksyen 124B,” katanya.

Dia juga mengingatkan jika kritikan terhadap kerajaan dianggap sebagai cubaan menjatuhkan pentadbiran, ia boleh membawa kepada siasatan yang lebih luas terhadap para pengkritik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS