Personaliti kontroversi, Zamri Vinoth, dan individu yang mendakwa sebagai aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak, dilapor melarikan diri ke Thailand.
Perkembangan itu berlaku ketika Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin hampir mengambil tindakan terhadap kedua-dua mereka atas pertuduhan jenayah, susulan insiden berasingan yang melibatkan provokasi perkauman dan keagamaan.
Dalam kenyataan media lewat malam tadi, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail, berkata pihaknya sedang bekerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa Thailand untuk menjejak serta membawa pulang kedua-dua suspek ke negara ini.
“Berdasarkan maklumat risikan PDRM mendapati kedua-dua suspek melarikan diri ke Thailand dan usaha untuk mengesan sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
“Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kedua-dua suspek berjaya dikesan dan dibawa pulang,” katanya.
Khalid berkata Zamri – atau nama penuhnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu – akan berdepan dua pertuduhan berasingan.
“Polis melalui jabatan siasatan jenayah mengesahkan sudah selesai menjalankan siasatan terhadap Zamri Vinoth berhubung kenyataan penganjuran perhimpunan di perkarangan Sogo, Kuala Lumpur pada 7 Feb lalu.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan arahan pertuduhan (mengikut) Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan, atau yang berkemungkinan menyebabkan, ketakutan atau kegusaran kepada orang awam.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali,” kata Khalid.

Berhubung siasatan berkaitan kenyataan bersifat menghina terhadap masyarakat India, Khalid berkata, kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang untuk arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Polis Pulau Pinang sebelum ini menyiasat Zamri Vinoth atas kesalahan hasutan berhubung satu siaran langsung TikTok pada 8 Mac.
Ketika itu dia dia didakwa membuat kenyataan yang bersifat mengancam, provokatif, menghina dan berunsur perkauman.
Sementara itu siasatan terhadap Tamim Dahri pula berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar, Langkawi, Kedah.
Khalid berkata kertas siasatan telah dirujuk ke Pengarah Pendakwaan Kedah.
Memo untuk PM
Jelasnya, arahan pertuduhan ialah mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu merosakkan atau mencemarkan apa-apa benda yang dipegang suci oleh mana-mana golongan orang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan orang.
Tambah Khalid, jika disabitkan bersalah tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Tindakan Tamim Dahri memijak soolam – yang videonya menjadi tular – telah menerima kecaman meluas daripada pelbagai pihak.
Dia bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui bahawa perbuatan tersebut dianggap mencemarkan simbol Hindu.
Tamim Dahri mendakwa dia menyangka objek yang dipijaknya dalam rakaman video itu hanyalah sekeping besi berkarat di kawasan tanah lapang yang tidak berpenghuni.

Bagaimanapun, aktivis masyarakat India Umagandhan Krishnan mempertikaikan versi kejadian yang dikemukakan oleh Tamim Dahri.
“PDRM memberi jaminan akan sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan awam,” tegas Khalid.
Semalam, lebih 200 orang berkumpul di luar Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap peningkatan ucapan kebencian berunsur agama dan provokasi perkauman.
Memorandum tersebut dikemukakan oleh Global Human Rights Federation (GHRF) bersama gabungan 75 NGO dan orang awam.
Mereka menyeru penguatkuasaan undang-undang secara konsisten terhadap individu yang didakwa mencetuskan ketegangan antara agama, khususnya di media sosial.
Memorandum itu menamakan beberapa individu. Selain Zamri Vinoth dan Tamim Dahri, turut dinamakan ialah Firdaus Wong, Ridhuan Tee Abdullah, serta Mufti Perlis Asri Zainul Abidin.
Mereka didakwa membuat kenyataan yang menghina agama lain berulang kali dan menyebarkan naratif provokatif sepanjang lebih sedekad.
