Penceramah kontroversi Zamri Vinoth menafikan bahawa dia melarikan diri ke Thailand, seperti mana dakwaan pihak polis.
Zamri sebaliknya berkata dia sendiri akan bertemu dengan Ketua Polis Negara "jika perlu".
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Zamri turut mempersoalkan mengapa hanya dirinya didakwa atas tuduhan menghasut.
Sebaliknya, Zamri mendakwa penghasut sebenar ialah beberapa individu seperti Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer, aktivis Arun Dorasamy, dan timbalan pengerusi interim Urimai, David Marshall, tetapi tiada pertuduhan terhadap mereka.
“Kenapa pula saya nak lari? Saya dah pernah cakap banyak kali, kalau nak tangkap saya, tangkap Rayer juga. Dan sekarang kalau nak dakwa saya, maka dakwa mereka juga!
“Saya sendiri akan pergi jumpa IGP (Ketua Polis Negara) jika perlu, insya-Allah. Saya tidak lari dan tiada keperluan pun untuk lari!” kata Zamri.
Halaman Facebook Zamri yang pada awalnya boleh diakses kini disekat, namun tangkap layar hantaran tersebut tular di media sosial.
Malaysiakini telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Zamri bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.
‘Bukan bermain di padang rata’
Dalam hantaran Facebook berasingan, peguam Aidil Khalid mendakwa halaman Facebook Zamri telah “ditutup” sehingga orang ramai hanya dibenarkan mendengar “satu sisi cerita”.
“Kita tidak bermain di padang yang rata. Bayangkan, tuduhan dibuat, kononnya Zamri lari ke Thailand.
“Sedangkan Zamri memang selalu ulang-alik ke Thailand, sebab beliau ada perniagaan antara dua negara,” katanya.
Dia juga merujuk insiden di mana Zamri diserang dan cermin keretanya dipecahkan oleh beberapa individu.
Zamri mendakwa penyerang terbabit bertindak akibat “hasutan dan laporan polis palsu” yang dibuat terhadapnya oleh Rayer.

Semalam, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata pihak berkuasa Malaysia sedang bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di Thailand untuk mengesan serta membawa pulang Zamri, selain seorang lagi individu, Tamim Dahri Abdul Razak.
Zamri atau nama penuhnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, berdepan dua pertuduhan berasingan berkaitan penglibatannya dalam perhimpunan pada 7 Feb di Kuala Lumpur, dan satu lagi berhubung kenyataan yang didakwa berunsur provokatif terhadap kaum India.
Pertuduhan pertama dibuat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh menimbulkan khianat awam, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan kedua pula di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan kesalahan bagi perbuatan atau kenyataan yang mempunyai “kecenderungan menghasut”.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda maksimum RM5,000, atau kedua-duanya sekali.
Khalid turut berkata Tamim dijangka didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tempat sembahyang dengan niat mengaibkan agama mana-mana golongan.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
‘Pendakwaan perlu dinilai semula’
Dalam hantaran Facebook awal pagi ini, Zainul Rijal Abu Bakar berkata keputusan untuk mendakwa Tamim perlu “dinilai semula dengan teliti” berdasarkan prinsip keadilan, ketelusan dan kepentingan awam bagi mengelakkan tanggapan bahawa pendakwaan dibuat secara tergesa-gesa atau dipengaruhi pihak tertentu.

Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia itu berkata jika terdapat unsur ketidakkonsistenan dalam tindakan pendakwaan, layanan yang berbeza terhadap kes yang serupa, atau kegagalan mengambil kira keseluruhan keadaan fakta, maka keadaan tersebut boleh menimbulkan persepsi bahawa proses undang-undang sedang digunakan secara selektif.
"Saya berpendapat bahawa keputusan mendakwa Tamim perlu dijelaskan dengan lebih terperinci kepada umum, supaya tidak timbul keraguan bahawa tindakan tersebut dibuat secara tergesa-gesa, selektif, atau dipengaruhi oleh pertimbangan yang tidak selari dengan prinsip keadilan,” katanya.
Sementara itu, Mufti Perlis Asri Zainul Abidin turut menyuarakan pandangan serupa.

Menurutnya sekiranya Zainul sebagai seorang tokoh pengamal undang-undang merasakan pendakwaan terhadap Zamri dan Tamim sebagai ganjil, apatah lagi rakyat awam yang lain.
"Saya sendiri tertanya-tanya tentang sikap adil dan profesionalisme KPN dalam isu ini. Apatah lagi kita berada di negara Malaysia bukan di negara India. Apakah undang-undang kita hanya 'cengih' untuk yang beragama Islam sahaja?!”soalnya.
Dia juga berharap Khalid mengambil kira "soal keadilan terhadap Umat Islam", profesionalisme, latar isu serta “identiti negara”.
"Dalam Bulan Ramadan ini marilah kita berdoa agar negara kita berada di bawah kepimpinan dan pengurusan yang adil dan menjaga identiti negara ini khususnya berkaitan agama dan umat ini,"ujarnya.
