Platform sewa bilik popular, iBilik mempertahankan langkah syarikat itu membenarkan tuan rumah dan ejen menetapkan keutamaan kaum dalam senarai sewaan mereka.
Dalam satu kenyataan semalam, iBilik berkata fitur tersebut diperkenalkan bagi memudahkan proses carian untuk pengguna terutamanya bagi kediaman yang dikongsi bersama di mana keserasian antara penghuni adalah penting.
"Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan berbilang budaya, kami menghormati semua aspek keperluan kediaman. Oleh itu, fitur-fitur ini direka untuk membantu pengguna menapis senarai dan mencari susunan kediaman yang sesuai dengan lebih efisien.
"iBilik tidak menyokong atau mempromosikan diskriminasi kaum dalam apa jua bentuk kerana ini tidak selaras dengan standard platform kami dan kami mengambil perkara sebegini dengan berhati-hati dan serius.
"Matlamat kami sentiasa untuk menjadikan proses pemadanan dan kemasukan penginapan lebih mudah dan telus supaya penyewa dan pemilik hartanah dapat mencari padanan yang tepat.
"Sebagai jenama Malaysia, iBilik tetap komited untuk memperbaiki platform kami dan menyokong pasaran sewaan yang adil dan bertanggungjawab untuk semua," kata iBilik dalam kenyataan kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun penjelasan iBilik itu dibidas Kumpulan anti-diskriminasi Architects of Diversity (AOD).
Pada 12 Mac lalu, Malaysiakini menerbitkan laporan oleh AOD yang menunjukkan bahawa harga bilik sewa di Lembah Klang yang menerima penyewa India berharga purata 11.2 peratus lebih tinggi (lebih kurang RM74 tambahan) berbanding yang mengecualikan kaum tersebut, sekali gus mengenakan “premium diskriminasi.”

Laporan yang meneliti diskriminasi sewa di sekitar Lembah Klang itu menyatakan bahawa bilik termurah juga merupakan yang paling diskriminatif secara terang-terangan terhadap kaum India, dengan 43.7 peratus senarai bawah RM400 sengaja mengecualikan mereka.
Situasi serupa dialami penyewa Cina yang dikecualikan daripada 26.6 peratus senarai dalam kategori harga yang sama, menurut laporan itu.
Sebaliknya, penyewa Melayu mengalami corak diskriminasi berbeza dengan pengecualian yang konsisten merentasi pelbagai harga bilik pada kadar 5.5 hingga 8.5 peratus.
Berdasarkan data yang dikumpulkan, laporan itu mendapati 42.8 peratus daripada 35,367 senarai yang dianalisis mengecualikan sekurang-kurangnya satu kumpulan kaum, "menjadikan diskriminasi sebagai pendirian pemilik rumah yang paling biasa di platform tersebut."
Faktor utama yang dikenal pasti ialah lokasi, dengan kadar diskriminasi yang berbeza mengikut kawasan sewaan:
Diskriminasi bukan serasi
Mengulas perkara itu, AOD menolak penjelasan iBilik yang menggamabr fitur keutamaan kaum bagi mencari keserasian dan menggesa syarikat itu mengambil kira mangsa diskriminasi.
Mereka juga menuntut iBilik segera menghapuskan fitur keutamaan kaum itu.

"Apabila sebuah platform membenarkan tuan rumah menandakan kotak yang mengecualikan seluruh kumpulan kaum daripada dipertimbangkan sebagai penyewa, hasilnya adalah pengecualian berdasarkan kaum.
"Tuan rumah yang mengecualikan penyewa berdasarkan kaum mereka, sebelum mengenali mereka, tidak membuat penilaian individu tentang keserasian," kata pengarah eksekutifnya, Jason Wee.
Dia juga berkongsi pengalaman sebenar dua individu, seorang wanita Malaysia India yang ditolak oleh tuan rumah dan ejen lebih 300 kali walaupun mempunyai rekod kewangan dan sewaan yang baik, dan seorang lelaki Kadazan dari Sabah yang diberitahu bilik hanya untuk "warganegara tempatan sahaja" oleh ejen yang bahkan tidak mengenalinya sebagai rakyat Malaysia.
"Tuan rumah itu menilai seseorang berdasarkan generalisasi kaum. Itulah diskriminasi, dan memanggilnya keserasian atau keperluan kediaman tidak mengubah hakikat itu
"Apabila platform kata menapis penyewa mengikut kaum hanya sebahagian daripada proses carian, ia memberi isyarat bahawa tingkah laku itu diterima. Yang terkesan adalah rakyat Malaysia yang ditolak bukan kerana tingkah laku, pendapatan atau rujukan mereka, tetapi kerana warna kulit mereka," tambah Wee
Dia berkata, antara platform hartanah utama di Malaysia seperti PropertyGuru, iProperty, SpeedHome dan Mudah.my, tiada yang membenarkan tuan rumah mengecualikan penyewa mengikut kaum. iBilik dikatakan satu-satunya platform yang sengaja membina fungsi ini dalam sistemnya
"Jika iBilik benar-benar ikhlas dalam dakwaannya bahawa ia tidak menyokong diskriminasi kaum, jalan ke hadapan adalah mudah: hapuskan fitur itu," tambah Wee.
