Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru menyalurkan maklumat berkaitan seorang guru besar, termasuk rekod prestasi tahunan dan rekod disiplin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang murid tahun satu dipukul di sebuah sekolah di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata beberapa guru juga telah dipanggil bagi memberikan keterangan berkaitan kes yang berlaku pada Selasa lepas itu.
“Pihak Balai Polis Skudai juga telah hadir ke lokasi kejadian di sekolah berkenaan bagi menjalankan siasatan awal, termasuk mengambil gambar serta mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor turut menasihati barisan pentadbir supaya memastikan keadaan di sekolah masing-masing kekal terkawal dan kondusif, demi menjamin kelancaran sesi persekolahan serta kesejahteraan murid.
Aznan turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi menjaga integriti institusi pendidikan serta keselamatan murid di negeri ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata hasil siasatan mendapati kanak-kanak lelaki berkenaan dipercayai dipukul lelaki berusia 48 tahun itu semasa berada di kantin sekolah kira-kira 7.39 pagi, hari sama.
Radin Ramlan berkata suspek ditahan pada 4.55 petang hari sama dan direman tiga hari hingga Jumaat lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 sebelum dibenarkan bebas dengan jaminan polis.
- Bernama
