Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga kanak-kanak bebas dari tahanan Sosma, Suaram gesa moratorium

Kesemua enam individu, termasuk tiga kanak-kanak bawah umur, yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), dibebaskan pada 13 Mac, menurut kumpulan hak asasi Suaram.

Pengarah Eksekutif Suaram, Azura Nasron, berkata peguam organisasi itu baru-baru ini bertemu dengan dua daripada tiga kanak-kanak bawah umur yang ditahan kerana didakwa cuba menghidupkan semula ideologi kumpulan militan Negara Islam (Daesh).

“Peguam kami telah menanyakan soalan-soalan yang ditanya kepada mereka semasa dalam tahanan. Daripada soalan-soalan (yang ditanya kepada mereka), kami akan mengenal pasti jurang di bawah Sosma dan mengapa ia tidak boleh digunakan.

“Niat kami adalah untuk memberi tekanan kepada kerajaan agar menguatkuasakan moratorium penggunaan Sosma terhadap kanak-kanak bawah umur,” kata Azura semasa sidang media di pejabat Suaram di Petaling Jaya.

Tiga kanak-kanak bawah umur itu termasuk dua remaja berusia 17 tahun yang ditangkap di rumah mereka di Alor Setar dan Langkawi di Kedah bulan lalu, dan dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan.

Mewakili salah seorang tahanan, peguam Farida Mohamad berkata dia telah bertemu dengan anak guamnya, yang mendedahkan keadaan yang membimbangkan semasa dalam tahanan.

“Kanak-kanak bawah umur itu ditahan selama 28 hari dengan soal siasat diadakan secara berterusan [...] Saya dimaklumkan bahawa kanak-kanak bawah umur itu ditempatkan di dalam sel dengan lampu dihidupkan setiam masa dan menimbulkan risiko kepada kesihatan dan keselamatan mereka.

“Terdapat perkara-perkara yang kalau dilakukan kepada orang dewasa sekali pun akan dianggap sebagai pelanggaran undang-undang, apatah lagi terhadap kanak-kanak bawah umur,” katanya.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya melawat kanak-kanak bawah umur itu sekali dalam 28 hari, tanpa tindakan susulan untuk memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Shashi Devan

Seorang lagi peguam yang terlibat dalam kes itu, Shashi Devan, berkata dia menerima maklumat bahawa kanak-kanak bawah umur itu telah digari beberapa kali semasa siasatan.

“Dakwaan ini, jika didapati benar, adalah melanggar undang-undang dan amalan bagaimana kita sepatutnya menangani kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang semasa ditangkap dan semasa dalam tahanan,” katanya.

Shashi berkata dia dimaklumkan bahawa anak guamnya tidak bersedia untuk berkongsi pengalamannya dalam tahanan secara peribadi, satu petanda trauma yang belum dapat diselesaikan.

“Ini sendiri adalah sesuatu yang harus kita anggap sebagai tanda amaran kerana jika semuanya baik-baik saja, mungkin ada akses untuk soalan lanjut daripada peguam,” tambahnya.

Sementara itu, penasihat Suaram, Sevan Doraisamy, mengimbas kembali bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) dari tahun 2018 telah menyatakan komitmen untuk melakukan pembaharuan undang-undang antikeganasan, termasuk Sosma, berdasarkan jawapan parlimen yang mendedahkan lebih 100 kanak-kanak dalam tahanan.

Walau bagaimanapun, dia berkata tiada kemajuan yang ketara dalam proses pembaharuan itu, dan sebaliknya, kanak-kanak terus ditangkap di bawah undang-undang tersebut.

“Seterusnya, kerajaan semasa sepatutnya sudah mempunyai draf pindaan Rang Undang-Undang, tetapi ini tidak berlaku.

“Sebaliknya, mereka terus membenarkan polis menyalahgunakan proses di bawah undang-undang, termasuk terhadap kanak-kanak,” dakwanya.

“Penangkapan kanak-kanak di bawah undang-undang keselamatan adalah titik terendah yang boleh dicapai oleh kerajaan, dan kerajaan Madani telah mencapainya.

“Jadi hari ini kami tidak lagi menujukan gesaan kami kepada menteri dalam negeri, tetapi kami secara langsung merayu agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan dan melaksanakan moratorium penangkapan kanak-kanak bawah umur di bawah Sosma,” tegasnya.

Suaram sebelum ini berhujah bahawa penahanan kanak-kanak bawah umur di bawah undang-undang itu bercanggah dengan peruntukan dalam Akta Kanak-kanak 2001, yang mengiktiraf sesiapa sahaja yang berumur di bawah 18 tahun sebagai kanak-kanak.

Seksyen 83 dan 84 Akta Kanak-kanak menyatakan bahawa kanak-kanak tidak dibenarkan ditahan di bawah mana-mana akta lain selain Akta Kanak-kanak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS