SPRM digesa agar tidak bertangguh dalam menjalankan siasatan telus dan menyeluruh terhadap dakwaan ketirisan dana program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) seperti dilaporkan Malaysiakini, semalam.
Naib Ketua Pemuda PKR Nabil Halimi berkata, dana RM100,000 melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bukan milik individu atau ketua kampung, tetapi amanah rakyat untuk membangunkan projek ekonomi setempat.
“Jika wujud pihak yang mengambil kesempatan sebagai orang tengah untuk mengaut hampir keseluruhan dana projek, mereka adalah ‘penyakau’ dan pengkhianat yang merompak hak rakyat.
“Tidak boleh ada kompromi terhadap mereka yang tamak dan mengkhianati amanah rakyat. Mereka ini perosak harapan rakyat serta usaha membina kekuatan ekonomi bangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan wujud dakwaan yang pelaksanaan program itu menjadi ‘lubuk duit’ kepada ahli politik yang menawarkan khidmat sebagai orang tengah atau perunding bagi mendapatkan dana tersebut.
Laporan itu mendedahkan dua individu yang mendakwa usaha mereka bagaikan dikhianati oleh pihak yang menawarkan khidmat sebagai perunding.
Ia apabila dana hampir RM100, 000 diambil daripada pihak JPKKP sedangkan khidmat penyediaan dan kemudahan untuk menjalankan projek itu tidak setimpal dengan kos dikenakan.
Dalam perkembangan itu sumber SPRM memberitahu mereka sedang mengambil langkah susulan berhubung aduan yang dikemukakan oleh orang awam.
“Kertas siasatan telah dibuka pada tahun lalu dan SPRM mendapati tidak ada sebarang kesalahan yang dilakukan mengikut Akta SPRM 2009,” katanya.
Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid pula ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Pada masa sama dia meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mahupun bukti berkaitan isu penyelewengan peruntukan Sejati Madani supaya tampil memberikan kerjasama.

Sementara itu Nabil berkata, program Sejati Madani adalah inisiatif kerajaan untuk membina kekuatan ekonomi komuniti, khususnya di kawasan desa dan perumahan flat melalui aktiviti pertanian, pelancongan, jahitan, kraftangan dan industri hijau.
Katanya, sehingga 2025, lebih 3,062 komuniti dan 3,182 aktiviti ekonomi telah menerima peruntukan.
“Negara ini harus dibina oleh mereka yang menjaga amanah dengan jujur dan berani, bukan oleh mereka yang rakus,” tegasnya.
Dalam perkembangan itu Pengerusi PH Terengganu Hasbie Muda ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan ambil tindakan lanjut.

(Ia) kes lama. Saya difahamkan aduan tu dah dibuat kepada pihak PDRM dan SPRM awal tahun lepas.
“Kita serah kepada pihak berkuasalah untuk siasat dan ambil tindakan jika ada kes,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.
