Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Takiyuddin kata MIC sah sertai PN, Saravanan nafi hantar permohonan

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata partinya belum mengemukakan sebarang permohonan rasmi untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Penafian itu dibuat meskipun Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan hari ini dilaporkan mendakwa sekutu BN itu telah diterima masuk ke menganggotai gabungan pembangkang berkenaan.

Saravanan memberitahu Malaysiakini bahawa MIC sekadar membuat pertanyaan mengenai penyertaan ke dalam PN ketika Muhyiddin Yassin mempengerusikan gabungan itu.

"Kita cuma tanya apa tawaran yang akan diberikan kepada kami.

"Selain itu, kita sudah jelaskan bahawa jawatankuasa kerja pusat (CWC) akan memutuskannya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM).

"Namun, sehingga hari ini, kita belum buat sebarang keputusan," katanya.

Pagi tadi, Takiyuddin memberitahu pemberita di Kota Bharu, Kelantan bahawa dengan kemasukan MIC, PN kini menjadi sebuah gabungan yang terdiri daripada lima parti.

“Saya boleh sahkan malam ni saya nak pergi KL, saya akan jumpa MIC.

“Kita akan bagi surat rasmi pada MIC katakan mereka diterima parti anggota dalam PN,” kata Takiyuddin.

Menurutnya, MIC diterima sebagai ahli PN pada Disember tahun lalu, namun keahlian parti itu hanya disahkan secara rasmi pada mesyuarat terakhir gabungan tersebut pada 14 Mac.

Apabila ditanya jika MIC akan meninggalkan BN demi PN, Takiyuddin membayangkan perkara itu terpulang kepada parti berkenaan.

"Itu isu mereka, itu isu lain. Mereka memohon untuk menyertai dan kami telah menerima (permohonan mereka)," katanya.

Pada November tahun lalu, media melaporkan dakwaan Muhyiddin bahawa MIC telah memohon untuk menyertai PN.

Sama seperti situasi hari ini, MIC ketika itu menafikan ada membuat sebarang permohonan, dengan setiausaha agungnya, S Ananthan menjelaskan bahawa surat yang dihantar kepada PN bukannya permohonan rasmi, sebaliknya bertujuan mendapatkan maklumat awal sebelum sebarang keputusan.

Dia seterusnya menjelaskan bahawa MIC turut meminta penjelasan mengenai komitmen PN terhadap pembangunan masyarakat India, termasuk isu pendidikan, sosioekonomi, dan perwakilan politik.

Sebelum ini, MIC beberapa kali menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan BN susulan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan politik parti itu, terutama selepas Umno di bawah pimpinan Ahmad Zahid Hamidi menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Selain MIC, MCA turut dilaporkan bimbang mengenai isu pembahagian kerusi pilihan raya yang dianggap lebih memihak kepada parti penyandang.

Di bawah formula pembahagian kerusi BN-PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan menerima jumlah kerusi yang kecil untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS