MIC secara rasmi diterima sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN), sekali gus menjadikan gabungan itu kini terdiri daripada lima parti politik.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan sebagai berkata, surat rasmi akan diserahkan kepada Presiden MIC, SA Vigneswaran malam ini bagi mengesahkan keahlian parti tersebut.

“Saya boleh sahkan malam ini akan jumpa MIC dan kita akan bagi surat rasmi kepada MIC menyatakan bahawa mereka diterima sebagai parti anggota.
“Dalam konteks PN parti anggota ini empat parti. Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP, bila MIC diterima sebagai parti anggota sekarang kita ada lima parti,” katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.
Dia berkata, kemasukan MIC sudah diluluskan sejak Disember tahun lalu namun ini disahkan secara rasmi pada mesyuarat PN Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Takiyuddin mendedahkan bahawa terdapat lebih lima lagi parti lain yang telah memohon untuk menyertai PN.
Tambahnya, permohonan-permohonan tersebut mencerminkan kepimpinan PN yang kini lebih inklusif, dengan pelantikan jawatan yang kini diagihkan merentasi pelbagai parti.
Menurut Takiyuddin, MIC yang baru menyertai PN juga akan akan diberi jawatan dalam gabungan itu.
"Jika sebelum ini yang memegang jawatan adalah PAS dan Bersatu, namun kini (PN adalah) menyeluruh.
"Sekarang ini selain terbuka kepada mana-mana parti, kita juga buka kepada NGO dan ahli bersekutu.
"Dalam PN ada tiga kategori iaitu parti anggota, ahli bergabung iaitu NGO atau parti yang mesra kepada PN dan ahli bersekutu terdiri daripada individu," katanya tanpa menamakan lima parti berkenaan.
