Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Ketika negara berdepan perubahan landskap politik, bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin memberi bayangan dia bersedia meneroka wadah politik baru menjelang pilihan raya akan datang.

Menggunakan gerakan “Reset” sebagai asas, Hamzah menggambarkan perjalanan ke arah satu hala tuju yang akan dipersetujui majoriti pihak yang menyertainya.

“Jika saya boleh menjadi faktor penyatuan demi kepentingan rakyat, adakah itu salah? Tiada yang salah.

“Dan saya fikir inilah yang perlu kita lakukan jika benar-benar sayangkan negara ini, mencari seseorang yang boleh menyatukan semua pihak untuk membina negara bersama,” katanya dalam temu bual bersama media terpilih di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain ahli biasa Bersatu di seluruh negara, Hamzah mendakwa mendapat sokongan 18 ahli parlimen parti itu termasuk yang dipecat dan digantung, sekali gus meninggalkan presiden parti, Muhyiddin Yassin dengan baki lima ahli parlimen.

Gerakan “Reset” dilancarkan pada 14 Februari lalu, sehari selepas Hamzah dipecat daripada Bersatu.

Hamzah turut menyatakan hasrat membentuk satu konsensus nasional yang baru.

“Apa konsensus itu? Membina negara bersama... tetapi untuk itu kita perlukan modal.

“Kita perlukan kumpulan yang ada integriti dan kredibiliti, yang tidak boleh dipersoalkan tentang itu,” katanya.

Penyokong Ahli Parlimen Larut itu menyifatkan gerakan “Reset” sebagai usaha strategik untuk membentuk landskap politik yang lebih matang dan stabil, merentasi agama, kaum dan wilayah.

Ketika ditanya sama ada usahanya itu mencerminkan cita-cita menjadi perdana menteri, Hamzah merujuk kepada reputasinya sebagai “operator” politik.

“Saya pernah kata, Vladimir Putin juga seorang operator sebelum menjadi presiden Rusia,” katanya.

Pemerhati sebelum ini mengaitkan peranan Hamzah dalam beberapa gerakan politik termasuk “Langkah Sheraton” yang membawa kepada pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Sejak itu, Muhyiddin turut mendakwa Hamzah berunding dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuannya dalam apa yang dikenali sebagai “Langkah Bangkok”.

Tidak akan kembali ke kapal lama

Hamzah turut menggunakan analogi kapal besar dan kecil bagi menggambarkan gabungan politik baru, dengan dirinya sebagai “laksamana” yang mengetuai armada tersebut.

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan pelan muktamad dan memberi bayangan pengumuman hanya akan dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Hamzah juga menegaskan bahawa dia tidak akan kembali kepada “kapal lamanya”, merujuk kepada Umno dan Bersatu dalam gabungan BN dan PN

Selain itu, Hamzah turut juga menyatakan kesediaan menjadi penghubung antara blok politik termasuk BN dan PN bagi membentuk gabungan lebih besar berasaskan parti Melayu.

“Saya percaya saya boleh melakukannya. Salahkah jika saya ‘mengoperasikan’ satu lagi langkah untuk menyatukan semua pihak?” katanya.

Dia turut menggambarkan dirinya sebagai pemain berpasukan dan membawa bersama penyokong yang dipecat, keluar parti atau digantung.

Antara pemimpin Bersatu yang menyokongnya termasuk Ronald Kiandee dan Mas Ermieyati Samsudin, yang sebelum ini digantung daripada jawatan dalam parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS