Orang ramai hairan dakwaan laporan ketirisan RM98,000 dalam satu hari dana RM100,000 projek pertanian Sejati Madani yang bermasalah ke dalam akaun syarikat pemegang jawatan politik diumumkan tiada kesalahan oleh SPRM.
Adakah selepas ini akan lagi banyak dana projek Sejati Madani kerajaan yang bertujuan membantu rakyat akan terus tiris mengalami nasib yang sama?
Di mana letak akauntabiliti dan tatakelola baik mengurus wang rakyat dana kerajaan?
Sebelum ini 'Mafia Korporat' dikatakan bergiat di peringkat perniagaan syarikat besar bertaraf korporat. Adakah konsep seakan itu juga wujud dalam pengurusan pertanian tanaman di kalangan pengusaha kampung?
Berikutan penulisan saya, siasatan Malaysiakini melalui temu bual dua orang pengerusi JPKKP tentang projek Sejati Madani mendapati modus operandi yang sama berlaku apabila RM98,000 dari dana RM100,000 dipindah kepada dua akaun peribadi dua individu yang menawar diri menjadi pengurus projek berkenaan.
Ada yang dilaksanakan dalam satu malam dan ada yang berlaku dalam tiga hari. Salinan cek bayaran nama syarikat diserah sebagai bukti.
Soalannya apakah keperluan mendesak mengosongkan akaun projek dana awam begitu cepat? Mengikut tata kelola kebiasaannya ia dikeluarkan mengikut keperluan secara berperingkat.
Dua pengadu tersebut juga menyatakan banyak keperluan tanaman tidak diberi dan pertanyaan dan rayuan kepada pihak berkenaan tidak dilayan seperti sepatutnya sehingga mengalami kerugian yang teruk kerana hanya sekitar RM1,000 saja dana tinggal dalam akaun asal.
Pertanyaan saya sendiri kepada pihak SPRM tersebut menerima jawapan projek tersebut 'berjalan'. Tetapi pada saya ia tidak mengambil kira prosedur dan adakah perbelanjaan kos projek menepati peruntukan dana keseluruhan RM100,000?
Tinjauan mendapati bukan saja cara dana dikeluarkan tergesa-gesa mencurigakan tanpa pemantauan dan akauntabiliti tidak wujud dengan berlakunya ketirisan.
Untuk makluman, kedua-dua pengerusi JPKKP yang membuat aduan di atas tidak diteruskan pelantikan mereka lagi.
Jika SPRM menyatakan tiada menyalahi peraturan, jelas kelemahan ketara integriti serta moral wujud di sini. Peraturan perlu dikaji balik. Kerajaan perlu meneliti ketirisan ini dan memastikan keadilan berlaku.
Apabila dua pengadu tersebut tidak diteruskan pelantikan pengerusi JPKKP mereka, ramai yang lain tidak berani membuat aduan khuathir nasib mereka. Ugutan secara halus ini mirip budaya Mafia Korporat yang sedang hangat dibincangkan. Wang dana awam bertujuan membantu golongan bawahan mesti dimanfaatkan untuk pihak berkenaan dan bukan ditiriskan oleh orang tengah yang tidak bertanggungjawab.
Peserta projek pertanian yang gagal ini kerana ketirisan mengalami kerugian teruk menyebabkan wang simpanan peribadi terpaksa dikeluarkan. Apakah nasib mereka menjelang hari raya ini apabila projek yang sepatutnya membantu rakyat bawahan menjadi igauan buruk kerugian kewangan tindakan rakan politik pengurus projek sendiri.
Apa yang berlaku walaupun dikatakan SPRM "tiada kesalahan", adalah ketirisan korup dari segi moral dan tatakelola baik yang mesti diperbaiki segera. Di manakah akauntabiliti dan letaknya masyarakat madani yang ingin dibantu kerajaan melalui program rakyat Sejati Madani?
Jika SPRM menyatakan isu berkenaan tiada kesalahan yang berlaku, ada kepincangan yang serius dalam sistem yang wujud. Jika projek untuk bantu rakyat marhaen diseleweng melalui ketirisan akan terus merugikan rakyat yang ingin dibela dan kerajaan sendiri.
RAJA BAHRIN SHAH adalah anggota jawatankuasa pusat Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
