Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Albert Tei tuntut SPRM pulangkan semula decoder CCTV
Diterbitkan:  Mar 18, 2026 6:47 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Peguam kepada ahli perniagaan, Albert Tei menuntut SPRM memulangkan barangan yang disita daripada kediamannya pada Nov tahun lalu, termasuk sebuah penyahkod (decoder) kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam surat yang dihantar oleh firma guaman Abd Halim Ushah & Associates kepada SPRM, firma itu memaklumkan peralatan berkenaan disita dalam serbuan pada 28 Nov tahun lalu.

"Berikutan serbuan tersebut, anak guam kami telah didakwa di Mahkamah.

"Decoder tersebut merupakan harta milik anak guam kami yang digunakan sebagai sebahagian daripada sistem keselamatan di rumah beliau.

"Sehubungan dengan itu dan setelah meneliti pertuduhan-pertuduhan yang dibawa terhadap anak guam kami, adalah jelas bahawa penyahkod tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dan/atau hubungan material dengan pertuduhan pertuduhan yang dibawa terhadap anak guam kami.

"Oleh itu, penahanan berterusan terhadap decoder tersebut tidak mempunyai sebarang justifikasi dan/atau alasan munasabah,” menurut surat itu yang dilihat Malaysiakini.

Firma itu berkata mereka juga telah diarahkan oleh Tei untuk menyatakan bahawa sebarang penahanan lanjut decoder tersebut secara jelas menjurus kepada pelanggaran hak anak guam mereka di bawah Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian, kami dengan ini memohon agar decoder tersebut dipulangkan kepada anak guam kami dengan kadar segera," katanya.

Pada 30 Jun tahun lalu, Tei berdepan pertuduhan memberi rasuah RM350,000 berkaitan permohonan lesen mencari gali mineral di Sabah. Turut dia didakwa dua lagi Adun di negeri itu.

Pada 28 Nov tahun sama, SPRM menyerbu rumahnya di Puchong dengan rakaman menunjukkan pegawai bersenjata lengkap mengenakan gari sebelum membawa masuk ke kenderaan hitam tanpa nombor.

Kurang seminggu selepas itu, Tei sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Sebelum ini Tei menggesa SPRM memulangkan "perakam CCTV" yang didakwa diambil semasa serbuan di rumahnya.

Tei mendakwa pegawai SPRM semasa serbuan itu telah mengacukan pistol ke arahnya dan ahli keluarganya.

Bagaimanapun Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata polis tidak menemui bukti bahawa pegawai SPRM mengacukan pistol ke arah Tei dan isterinya, Lee Pei Rie, semasa serbuan itu.

Shazeli berkata pihak polis juga telah memperoleh rakaman CCTV dari kediaman tersebut, serta rakaman perbualan telefon, yang telah diserahkan kepada unit forensik untuk pemeriksaan dan analisis lanjut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki juga menafikan dakwaan bahawa pegawainya telah mengacukan pistol ke arah Tei dan isterinya.

Pada 12 Mac lalu, Tei membuat laporan polis dengan mendakwa dia memperoleh imej yang menunjukkan anggota SPRM bersenjata berada di rumahnya semasa penahanannya pada Nov tahun lalu.

Tei yang membuat laporan itu di balai polis Bandar Puteri di Puchong berkata imej tersebut dihantar kepadanya pada 9 Mac melalui WhatsApp oleh individu tidak dikenali menggunakan nombor telefon bimbit yang didaftarkan di Kemboja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS