Lembaga Disiplin Bersatu memecat ketua bahagian parti itu untuk Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
Menurut satu notis yang dilihat Malaysiakini, pengerusi lembaga itu, Radzi Manan berkata Badrul dipecat kerana didakwa melanggar Klausa 9.1.4 perlembagaan parti serta Kod Tata Kelakuan dan Etika Ahli.
Aktivis itu juga gagal memberi maklum balas terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan lembaga berkenaan pada 10 Mac, kata Radzi.
Klausa 9.1.4 merujuk kepada peruntukan dalam perlembagaan Bersatu berkaitan pelaksanaan kerja untuk parti serta penyertaan dalam mesyuarat dan aktiviti parti.
Walaupun surat itu tidak memperincikan secara khusus dakwaan pelanggaran disiplin oleh Badrul, ahli politik terbabit dilaporkan memberitahu media pada Selasa bahawa dia dituduh mencemarkan imej Bersatu semasa satu sidang media pada 9 Julai tahun lalu.
Badrul juga diminta oleh lembaga tersebut untuk menjelaskan beberapa kenyataan yang dibuatnya di media sosial, termasuk penggunaan kata-kata kesat seperti 'barua' dan 'mangkuk hayun'.
Menurut laporan FMT, Badrul mengesahkan pemecatannya daripada Bersatu dan berkata dia dimaklumkan mengenai perkara itu melalui WhatsApp kira-kira jam 6 petang semalam.
Dia juga dilaporkan mendakwa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin lebih memihak kepada individu tertentu yang mengugut semua orang supaya mengikut kehendak presiden.
Badrul menjadi ahli politik terbaru yang dipecat oleh Bersatu sejak bulan lalu.
Pada 13 Feb, Bersatu telah memecat 17 lagi pemimpin termasuk timbalan presidennya, Hamzah Zainudin.
