Di tengah ketegangan kaum dan agama yang semakin memuncak susulan isu kuil tidak sah serta pelbagai provokasi lain, sekumpulan aktivis Muslim dan Hindu bertemu di Putrajaya malam tadi dalam usaha menuju perdamaian.
Walaupun pertemuan itu dilaporkan bergerak ke arah positif, ketegangan masih memuncak apabila beberapa ahli politik Hindu berprofil tinggi serta seorang tokoh Muslim yang lantang — yang tidak hadir — dilihat menyanggah usaha perdamaian tersebut.
Menurut pelbagai laporan media, pertemuan di Putrajaya petang semalam dianjurkan sebagai sebahagian daripada program Madani Harmony namun tidak dinyatakan secara jelas pihak yang menggerakkan pertemuan itu.
Laporan menyebut seramai 20 wakil Muslim dan 10 wakil Hindu menyertai perbincangan tersebut — dan antara cadangan yang dikemukakan termasuk penubuhan jawatankuasa khas oleh Jabatan Perdana Menteri serta pelaksanaan audit tanah melibatkan kuil.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar dan Presiden Persatuan Hindu dan Kuil Malaysia, N Sivakumar, kedua-duanya menyuarakan pandangan positif terhadap pertemuan itu dalam sidang media selepasnya, dengan peguam Muslim itu menyatakan perbincangan lanjut akan diteruskan.
"Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang antara satu sama lain, bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain.
"Ini adalah langkah permulaan dan kita mahu bergerak ke hadapan,," kata Zainul seperti dipetik BH Online.
Sivakumar — yang juga bendahari agung MIC — menyuarakan sentimen sama dengan menegaskan keperluan memelihara keharmonian negara.

"Sebenarnya, kita memang hidup sebagai dalam satu negara, Malaysia yang harmoni. Tetapi disebabkan satu atau dua orang, disebabkan mulut dan tangan mereka, kita harus lupakan mereka sebaliknya kita mencari perdamaian," katanya.
Antara yang hadir mewakili pihak Muslim termasuk pendakwah kontroversi Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.
Bagaimanapun, pihak Hindu dilihat kurang diwakili tokoh berprofil tinggi selain Sivakumar — yang juga anak kepada pengerusi jawatankuasa Kuil Batu Caves, R Nadarajah.
Turut hadir ialah pempengaruh media sosial S Chandrasegaran — juga dikenali sebagai Cikgu Chandra — yang dikenali sebagai sekutu kepada pelbagai kumpulan Muslim.

Dua ahli politik DAP — Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dan senator RA Lingeshwaran — pada awalnya dijangka turut hadir dalam pertemuan itu.
Lingeshwaran dalam hantaran Facebook pagi semalam berkata dia dan Rayer dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan memberi bayangan satu acara luar biasa sedang dianjurkan.
Namun, sekitar jam 6 petang, senator itu memuat naik kemas kini bahawa mereka sekadar berhenti minum teh tarik sebelum kembali terbang ke Pulau Pinang.

Ketika dihubungi, Rayer berkata mereka pada asalnya dimaklumkan bahawa Ketua Polis Negara Khaid Ismail akan hadir.
"Selepas tiba di Kuala Lumpur kami mendapati KPN tidak akan terlibat dalam pertemuan itu, selain dimaklumkan Zamri dan Firdaus turut hadir.
"Kami enggan hadir," tegasnya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, lebih 1,000 laporan polis telah dibuat sebelum Zamri didakwa berhubung gesaan mengadakan perhimpunan membantah kuil Hindu tidak sah.

Selain itu, katanya, Zamri masih belum didakwa kerana menggunakan kenyataan menghina terhadap penganut Hindu serta didakwa menghasut keganasan dalam satu ucapan di Bukit Mertajam.
"Sejak merdeka, rakyat Malaysia hidup aman dan harmoni walaupun datang dari latar agama, kaum, budaya, bahasa dan etnik yang pelbagai, kerana kita saling menghormati dan bertolak ansur.
"Apa yang gagal disedari oleh pihak yang kononnya menjadi pendamai dalam pertemuan semalam ialah keadaan tidak akan sampai ke tahap membimbangkan seperti dilihat di media sosial sekiranya tindakan segera diambil pihak berkuasa terhadap individu yang menyebar kebencian," kata Rayer.
Zamri pada satu hantaran yang ditujukan kepada Rayer dan Lingeshwaran malam tadi mempersoalkan agenda sebenar mereka selepas tidak menghadiri pertemuan tersebut.

Namun, dua ahli politik DAP itu bukan satu-satunya pihak yang mengkritik pertemuan damai tersebut. Menerusi hantaran di Threads ketika menunaikan umrah, buruan yang menggelarkan dirinya aktivis anti rumah ibadat tanpa izin, Tamim Dahri Abdul Aziz turut memperlekeh pertemuan itu.
Dia mendakwa Malaysia antara beberapa negara yang membenarkan kuil "haram", sambil menuduh ia turut melibatkan unsur gengsterisme dan alkoholisme — dakwaan yang menyentuh stereotaip tanggapan perkauman terhadap komuniti India.
Dia kemudian menyindir: “Oh ya, rundingan damai tadi ada hidang bihun tak?”
Dalam hantaran susulan, dia turut berdoa agar orang Melayu menjadi lebih "berani" dan "bijak".
Maklum balas terhadap hantarannya juga menunjukkan penolakan terhadap usaha rundingan damai dalam kalangan penyokongnya.
Tamim sepatutnya didakwa pada Isnin kerana memijak simbol suci Hindu di Langkawi namun kesnya ditangguhkan sementara menunggu kepulangannya.
