Dua aktivis pro-Palestin menggesa Malaysia mengenakan sekatan terhadap eksport bahan nadir bumi (REE) yang diproses oleh kilang Lynas Rare Earths.
Seruan itu dibuat selepas syarikat berkenaan menandatangani surat hasrat mengikat dengan Jabatan Perang Amerika Syarikat bagi memuktamadkan perjanjian empat tahun untuk membekalkan sektor pertahanan negara itu dengan mineral nadir bumi.
Pengerusi Boycott Divestment & Sanctions Malaysia (BDS), Nazari Ismail berhujah bahawa perjanjian perniagaan tersebut turut mencabar semangat dasar luar Malaysia yang tidak berpihak.
"Ya, kerajaan Malaysia perlu mengenakan beberapa bentuk sekatan terhadap eksport hasil Lynas. Ia tidak sepatutnya membekalkan kepada negara yang menggunakannya untuk operasi ketenteraan yang tidak sah.

"Jelas sekali, Amerika Syarikat kini terlibat dalam operasi ketenteraan selepas melancarkan serangan tanpa provokasi ke atas Iran," kata aktivis itu kepada Malaysiakini.
Nazari mengakui langkah itu mungkin membawa kesan diplomatik namun menyifatkannya sebagai "perkara biasa apabila kita mempertahankan keadilan dan berpegang kepada prinsip moral".
Dia berkata Putrajaya perlu memberi perhatian serius terhadap perjanjian Lynas, mengambil kira peranan AS dalam serangan bom maut ke atas dua sekolah di Iran yang mengorbankan lebih 100 pelajar.
Nazari berkata memandangkan Lynas memegang lesen operasi yang dikeluarkan Putrajaya, syarat lesen itu wajar dikaji semula untuk memasukkan sekatan terhadap pembeli akhir bahan yang diproses.
Bikin senjata untuk perang tak sah
"Seperti dinyatakan sebelum ini, hasil tersebut tidak sepatutnya dijual kepada pembeli yang bercadang menggunakannya untuk kempen ketenteraan yang tidak sah," tegasnya.
Bekas naib presiden PKR dan aktivis pro-Palestin, Tian Chua juga menyuarakan pandangan selari dengan Nazari.
"Jelas bahawa bekalan unsur nadir bumi kepada Jabatan Pertahanan AS untuk tujuan keselamatan akan melibatkan pengeluaran senjata.

"Perjanjian ini berpotensi mengheret Malaysia ke dalam rantaian bekalan dan pengeluaran mesin perang Amerika Syarikat.
"Malaysia boleh mengenakan syarat eksport tambahan bagi menghalang produk nadir bumi dihantar kepada industri pertahanan AS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dia mengakui undang-undang mungkin tidak menyediakan mekanisme jelas untuk menghalang Lynas — sebuah syarikat swasta yang tersenarai di luar negara — daripada memeterai perjanjian komersial dengan pihak pertahanan AS namun Malaysia tidak terlepas daripada tanggungjawab.
"Malaysia mempunyai pengaruh besar kerana AS merupakan negara yang melakukan jenayah perang. Penolakan kita untuk membenarkan Lynas menyokong kompleks ketenteraan akan memberi kredit di peringkat antarabangsa dan domestik.
Rakyat berhak tahu
"Neutraliti kita bermaksud kita terbuka dalam pasaran nadir bumi dan akan terus menghalang monopoli China dalam sektor ini. Namun, asasnya ialah pengeluaran industri dan sumber kita tidak boleh menyokong industri pembunuhan beramai-ramai," tegas Chua.
Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar menggesa Lynas dan Putrajaya memberikan "penjelasan yang jelas dan bertanggungjawab" kepada orang ramai berhubung perjanjian tersebut.
Katanya, perjanjian itu menimbulkan kebimbangan munasabah kerana nadir bumi merupakan bahan strategik yang digunakan dalam teknologi ketenteraan moden, termasuk sistem radar, sistem peluru berpandu, satelit, elektronik pertahanan serta pelbagai komponen industri senjata berteknologi tinggi.

"Rakyat berhak mengetahui sama ada unsur nadir bumi yang diproses melalui operasi Lynas di Malaysia akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan kepada sektor pertahanan Amerika Syarikat.
"Lynas juga perlu menjelaskan sumber bahan mentah yang terlibat dalam kontrak tersebut, lokasi pemprosesan serta sama ada fasiliti pemprosesan di Malaysia terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bekalan kepada industri ketenteraan Amerika.
"Sebagai syarikat asing yang beroperasi di Malaysia dan mendapat manfaat daripada sumber serta ekosistem negara ini, Lynas mempunyai tanggungjawab moral dan korporat untuk memastikan operasinya tidak menimbulkan implikasi geopolitik yang sensitif kepada negara tuan rumah," tambahnya.
Dia berkata penjelasan daripada kerajaan juga sama penting, sambil menegaskan isu nadir bumi bukan sekadar urusan perdagangan biasa, sebaliknya berkait rapat dengan keselamatan strategik, geopolitik global dan kedudukan negara di pentas antarabangsa.

"Kerajaan perlu menjelaskan sama ada terdapat dasar atau mekanisme kawalan yang memastikan sumber strategik yang diproses di Malaysia tidak disalurkan kepada industri ketenteraan mana mana kuasa besar yang terlibat dalam konflik antarabangsa," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Lynas untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
Apa isi perjanjian?
Pada 16 Mac, Lynas memaklumkan surat hasrat itu mewujudkan rangka kerja bagi memuktamadkan perjanjian membekalkan oksida nadir bumi ringan dan berat untuk menyokong keselamatan negara serta daya tahan rantaian bekalan Amerika Syarikat.

Di bawah perjanjian tersebut, Jabatan Perang AS akan memperuntukkan kira-kira AS$96 juta (RM377.62 juta) untuk membeli oksida nadir bumi daripada Lynas.
Lynas berkata perjanjian itu dibuat susulan keputusan bersama dengan Pentagon untuk mengubah perjanjian terdahulu, berikutan "ketidaktentuan ketara" sama ada rancangan membina kemudahan pemprosesan nadir bumi berat di Seadrift, Texas akan diteruskan.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa oksida neodymium-praseodymium (NdPr) akan mempunyai harga lantai AS$110 sekilogram di bawah perjanjian tersebut.
Sebagai perbandingan, harga penanda arasnya lazimnya berada antara AS$60 hingga AS$80 sekilogram tahun lalu, walaupun pernah mencecah setinggi AS$128 sekilogram tahun ini.

Mineral itu merupakan bahan mentah penting untuk menghasilkan magnet berkuasa tinggi yang diperlukan dalam motor elektrik, aktuator dan pelbagai aplikasi lain.
Bloomberg Intelligence melaporkan pada 2 Mac bahawa China menguasai 90 peratus bekalan NdPr dunia namun bekalan baru dari Australia dan AS dijangka mengurangkan penguasaan China kepada 69 peratus menjelang 2030.
Lynas melombong mineral nadir bumi dari Mt Weld di Australia Barat, sebelum dihantar untuk pemprosesan penapisan dan pengasingan menjadi oksida nadir bumi di Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng, Pahang.
Kilang di Gebeng itu bukan sahaja mampu menghasilkan unsur nadir bumi ringan, malah merupakan satu-satunya pengeluar utama unsur nadir bumi berat di luar China, sekali gus satu-satunya pengeluar yang tidak tertakluk kepada kawalan eksport China terhadap mineral kritikal.
Namun, kemudahan tersebut berdepan tentangan ketara daripada aktivis alam sekitar, khususnya berhubung pelupusan sisa radioaktif daripada proses penulenan larut lesap air (WLP).
Putrajaya melanjutkan lesen kemudahan itu selama 10 tahun bermula 3 Mac, dengan syarat ia mengurangkan tahap radioaktiviti sisa WLP di bawah had kawal selia dengan mengekstrak unsur radioaktif torium daripada sisa tersebut.
Lynas juga dikehendaki melengkapkan proses pengekstrakan torium di Australia sebelum dihantar untuk pemprosesan lanjut di Malaysia.
