Amanah Johor menggesa semua pihak menolak politik kebencian dan tidak mengeksploitasi isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan masyarakat majmuk.
Dalam kenyataan sempena Aidilfitri 1447H hari ini, Pengerusinya Aminolhuda Hassan berkata beberapa insiden kebelakangan ini menunjukkan wujud cubaan mencetuskan ketegangan kaum dan agama, yang bercanggah dengan semangat toleransi serta saling menghormati.
Menurutnya, situasi itu menjadi lebih membimbangkan apabila terdapat pihak, termasuk ahli politik, yang mengambil kesempatan dengan menanam kebencian terhadap kerajaan.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah akhirnya akan memberi kesan buruk kepada rakyat sendiri.
"Amanah Johor menegaskan bahawa tidak perlu wujud golongan yang menyimbah minyak ke dalam api, khususnya dalam isu berkaitan perpaduan kaum dan agama. Negara ini memerlukan suara yang menenangkan, bukan yang mengapi-apikan keadaan," katanya.
Sehubungan itu, dia menyeru semua pihak kembali kepada kepada nilai-nilai murni, mengutamakan dialog, saling menghormati serta menolak segala bentuk provokasi "dalam semangat Aidilfitri yang membawa mesej kemaafan dan penyatuan."
"Amanah Johor juga mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mempertahankan keharmonian negara, kerana kestabilan sosial adalah asas penting kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Pada masa yang sama, Amanah Johor menzahirkan komitmen untuk terus menyokong usaha memperkukuh perpaduan nasional serta menolak politik kebencian yang hanya merugikan masa depan negara.
"Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, Amanah Johor ingin merakamkan salam muhibah dan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya Bangsa Johor," katanya lagi.
