Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat Nurul Islam Mohamed Yusoff mendakwa Naib Presiden PKR Ramanan Ramakrishnan mengelak daripada memberikan jawapan terus berhubung kaitan seorang ahli parlimen (MP) parti itu dengan dakwaan "mafia korporat".
Nurul Islam berkata, kegagalan memberikan penafian yang meyakinkan pada sidang media hari ini menimbulkan pelbagai persoalan, memandangkan isu tersebut melibatkan dakwaan pemerasan berjumlah RM9.5 juta.
"Dato Seri (Ramanan) jawab berpusing-pusing sampai tak jumpa jalan keluar.
“Sedangkan dia boleh jawab dengan penuh yakin, 'Tidak, saya bukan MP PKR tersebut' atau 'Tiada MP PKR yang terima RM9.5 juta tersebut. Saya boleh sahkan'.
"Dia kan naib presiden PKR. Takkan tak berani nak pertahankan parti dia dan juga ahli parlimen PKR yang lain?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Desak siasatan telus
Mengulas lanjut, Nurul Islam menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat oleh individu bernama Victor Chin perlu disiasat segera oleh agensi berkaitan bagi menjaga imej negara.
Katanya, kewujudan elemen "mafia" dalam sektor korporat yang turut dikaitkan dengan agensi kerajaan dan pemimpin politik boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
"Siasatan terhadap dakwaan Victor Chin perlu dilaksanakan segera dengan telus dan adil. Dakwaan wujudnya korporat mafia ini jelas menjejaskan nama baik negara di mata pelabur luar negara dan dalam negara," katanya lagi.

Semalam, Chin menuduh seorang ahli Parlimen PKR menerima RM9.5 juta untuk membantu menyelesaikan isu tersebut.
Dia juga mengancam untuk mendedahkan identiti ahli parlimen itu, jika wang itu tidak dikembalikan kepadanya.
Dalam dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa yang didakwanya, Chin berkata bahawa ahli parlimen yang tidak dinamakan itu memintanya untuk mengatur wang tunai RM10 juta, untuk menyelesaikan masalah dengan "geng mafia korporat."
"Saya berjaya menguruskan RM9.5 juta pada mulanya, tetapi baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kepadanya, kerana ahli parlimen ini tidak menyelesaikan isu itu. Tiada wang yang pernah diserahkan kepada kumpulan mafia korporat.
"Saya mengeluarkan pesanan kepada ahli parlimen ini: Sila pulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac 2026, atau saya akan mendedahkan identiti anda," katanya.
Dalam sidang media hari ini, Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia ditanya wartawan sama ada beliau adalah individu yang dimaksudkan oleh Victor Chin, namun beliau tidak memberikan jawapan "ya" atau "tidak" yang nyata.
Ramanan pada sidang media hari ini menafikan dirinya terlibat skandal rasuah sebanyak RM9.5 juta daripada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan "mafia korporat" Victor Chin.
Katanya, dia tidak pernah berjumpa mahupun mengenali Chin sekali gus menafikan dirinya adalah "Mr R" yang dimaksud ahli perniagaan kontroversi itu.
"Hanya Chin boleh jawab siapa Mr R... ada sebahagian cuba mengaitkan Mr R itu dengan saya. Dia kononnya cakap Mr R itu saya.
"Memang kita lihat cybertrooper bekas timbalan presiden serang saya macam saya bersekongkol dengan Mr Chin, saya tak pernah jumpa Mr Chin, saya tak tahu siapa dia," katanya.
Sebaliknya, Ramanan mendakwa laskar siber atau cybertrooper Rafizi menyerangnya dengan memainkan naratif yang bertujuan untuk memecah-belahkan parti.
