Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap syarikat NexG Bhd (NexG) berhubung kontroversi yang dikaitkan dengan syarikat itu kerana ia membabitkan perolehan kerajaan.
Jelasnya, siasatan terperinci dan menyeluruh termasuk yang dijalankan oleh sebuah jawatankuasa bagi menilai kesesuaian beberapa aktiviti perniagaan yang melibatkan pelaburan sekitar RM200 juta juga perlu diteruskan.
"Siasatan perlu dibuat bagi merungkai kebenaran, (sebab) NexG dikaitkan dengan beberapa orang kuat dan ini membabitkan perolehan kerajaan," katanya kepada Malaysiakini mengulas mengenai kontroversi yang diperkatakan ramai orang sekarang.
Jelas bekas pemimpin Bersatu itu lagi, apa yang didedahkan oleh ahli perniagaan Victor Chin berhubung konflik syarikat terbabit harus diberi perhatian dan disiasat oleh pihak berkuasa.
Pada 5 Mac lalu, NexG mengumumkan bahawa mereka memutuskan untuk menggantung sementara kuasa dan fungsi eksekutif pegawai atasannya, Abu Hanifah Noordin, berkuat kuasa serta-merta.
Abu Hanifah merupakan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, penyedia sistem perisian dan perkakasan tersuai itu berkata keputusan tersebut dibuat oleh majoriti lembaga pengarah bagi memastikan semakan yang sedang dijalankan berhubung pelaburan syarikat dalam saham tersenarai dapat diteruskan secara telus, bebas dan teratur, selaras dengan komitmen mereka terhadap tadbir urus korporat yang kukuh, akauntabiliti dan ketelusan.
Pada Nov 2025 pula, Lembaga Pengarah NexG telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menilai kesesuaian beberapa pelaburan mereka dalam syarikat tersenarai awam.
Jawatankuasa tersebut turut dibantu oleh pihak profesional bebas sebagai pihak ketiga untuk menjalankan pengumpulan fakta serta memberikan input profesional sebagai sebahagian daripada proses semakan.
Namun, pada 11 Mac lalu NexG mengumumkan melalui pemfailan kepada Bursa Malaysia bahawa enam pengarah yang sebelum ini ingin disingkirkan oleh Abu Hanifah Noordin telah meletakkan jawatan secara beramai-ramai berkuat kuasa serta-merta.
Pada 14 Mac pula Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, menggesa supaya peranan NexG Berhad diletakkan bawah kawalan kerajaan susulan dakwaan pergolakan dalam syarikat yang dilantik Putrajaya untuk membekalkan MyKad dan pasport itu.
Bercakap dalam audio siar Yang Berhenti Menteri, bekas menteri ekonomi itu berkata memandangkan NexG mengurus aset keselamatan negara yang sangat sensitif, tugas yang diberikan kepada syarikat itu terlalu kritikal untuk dibiarkan di tangan pihak swasta yang terdedah kepada manipulasi.
