mk-logo
Berita
'Kepentingan PM dipertaruh?' - PSM gesa gantung tugas Azam
Diterbitkan:  Mar 26, 2026 3:08 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata kegagalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki serta menubuhkan badan siasatan bebas akan menimbulkan tanggapan seolah-olah kepentingan peribadi perdana menteri sendiri sedang dipertaruhkan dalam dakwaan “mafia korporat”.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata tiada siasatan atau pembaharuan yang bermakna terhadap kontroversi itu boleh berlaku selagi Azam kekal memegang jawatan.

Dia turut menyoal saluran apa yang boleh diambil ahli perniagaan Victor Chin — yang dinamakan oleh Bloomberg sebagai sebahagian daripada rangkaian “mafia korporat” — untuk dia membuat laporan.

Kata Arutchelvan, ini memandangkan sebarang aduan akhirnya akan dirujuk semula kepada institusi yang turut dikaitkan dalam skandal berkenaan.

“Orang ramai kini meminta Chin membuat laporan. Tetapi di mana dia boleh melapor?

"Polis hanya akan merujuk mana-mana kes rasuah kembali kepada SPRM. Namun, SPRM sendiri telah dikaitkan dalam skandal yang dipanggil ‘mafia korporat’, seperti yang diketengahkan oleh Bloomberg dan Malaysiakini.

“Jadi apabila Sivarasa memberitahu Chin untuk ‘hentikan sandiwara bodoh ini’, bukankah itu sebenarnya apa yang SPRM telah jadi?” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, bekas naib presiden PKR R Sivarasa menyelar Victor Chin, susulan dakwaan ahli perniagaan itu bahawa seorang anggota parlimen PKR menerima RM9.5 juta sebagai bayaran untuk menyelesaikan isu berkaitan "mafia korporat".

Dalam siri hantaran di aplikasi X, Sivarasa melabel Chin sebagai "meniru" Albert Tei, pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah besar-besaran di Sabah yang membabitkan sekurang-kurangnya 15 ahli politik dan beberapa pemimpin negeri pada November 2024.

Menegaskan bahawa Chin sepatutnya "buat saja laporan polis" dan mengadakan sidang media untuk menjelaskan dakwaannya, bekas anggota parlimen tiga penggal itu menggesa Chin mendedahkan "bukti" tuduhannya, termasuk mengenal pasti wakil rakyat PKR yang didakwa terlibat dalam transaksi tersebut.

Sementara itu, Arutchelvan menyifatkan keadaan itu sebagai tidak masuk akal memandangkan gesaan awam yang meluas supaya Azam disiasat, Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan, atau sekurang-kurangnya beliau digantung tugas, masih belum diambil tindakan.

“Saya memahami bahawa Albert Tei dan Victor Chin sendiri mungkin bersalah kerana merasuah ahli politik. Mereka sendiri tahu bahawa, dalam satu cara atau yang lain, mereka akan terbabit.

“Namun, selagi Perdana Menteri tidak menggantung tugas Azam Baki dan menubuhkan satu suruhanjaya yang benar-benar bebas untuk menyiasat perkara ini, ia akan kelihatan seolah-olah kepentingan perdana menteri sendiri yang sebenarnya sedang dipertaruhkan," kata pemimpin PSM itu lagi.

Terdahulu, Chin mendakwa seorang ahli parlimen yang tidak dinamakan meminta RM10 juta bagi “menyelesaikan masalahnya”. Dia hanya sempat menyediakan RM9.5 juta namun wang itu tidak menghasilkan sebarang penyelesaian dan tidak diserahkan kepada “mafia korporat”.

Chin kini menuntut wang tersebut dipulangkan sebelum 30 Mac 2026, sambil mengancam akan mendedahkan identiti ahli parlimen berkenaan. Dana itu didakwa dipindahkan pada 18 Okt tahun lalu.

Dia turut menggesa Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail menyiasat dan “membongkar kebenaran”, selepas Bloomberg sebelum ini menamakannya sebagai sebahagian rangkaian yang dikaitkan dengan dakwaan pengambilalihan korporat melibatkan SPRM.

Bagaimanapun, Chin mengesahkan bahawa sebarang siasatan terhadap dakwaan intimidasi korporat perlu merangkumi "peranan dan tingkah laku" SPRM dan polis, sambil menambah bahawa dia menyokong gesaan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat perkara itu.

Dia juga mendakwa dirinya menjadi mangsa dan "terperangkap oleh mafia", yang menurutnya telah mengambil kesempatan ke atas agensi penguatkuasaan dan kawal selia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS