Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee nafi Najib kemuka permohonan pengampunan baru

Peguam kanan, Shafee Abdullah menafikan bekas perdana menteri, Najib Razak, mengemukakan permohonan pengampunan yang baru kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Menurut Shafee dia boleh mengesahkan bahawa tiada permohonan baru difailkan oleh ahli politik terbabit yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

“Saya akan menjadi orang pertama - selain Najib - yang mengetahui sama ada terdapat sebarang permohonan atau tidak,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, portal berita Free Malaysia Today melaporkan Najib memfailkan permohonan pengampunan baru ketika Ramadan lalu dengan salinan permohonan tersebut dipanjangkan ke Istana Negara.

Memetik sumber tidak dinamakan, portal berita itu berkata, tidak pasti sama ada permohonan itu terhad kepada kes berkaitan SRC International Sdn Bhd (SRC), kes 1MDB atau kedua-duanya.

Malaysiakini telah menghubungi Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dan pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan berkenaan.

Najib - yang akan berusia 72 tahun pada Julai ini - didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang melibatkan RM42 juta dana SRC pada 2020.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Anak kepada perdana menteri kedua Malaysia itu mula menjalani hukuman penjara dua tahun selepas sabitan apabila semua ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 2024 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun, manakala jumlah denda menjadi RM50 juta susulan permohonan pengampunannya sebelum itu.

Najib kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun yang sama, dengan mendakwa terdapat titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Pada 22 Dis tahun lalu hakim Alice Loke menolak permohonan tersebut kerana berpandangan titah adendum tersebut tidak sah mengikut undang-undang. Najib telah merayu terhadap keputusan berkenaan.

Sementara itu, satu lagi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib atas semua 25 pertuduhan rasuah hanya empat hari selepas permohonan tahanan rumahnya ditolak. Dia juga telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS