Polis telah menahan dua ahli PKR yang dikaitkan dengan satu klip video tular kerana didakwa meminta “wang perlindungan”.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus mengesahkan penahanan tersebut malam tadi.
Semalam, PKR mengarahkan kedua-dua individu itu meletakkan jawatan serta-merta daripada kedudukan mereka dalam Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.
Peletakan jawatan itu bertujuan memudahkan siasatan oleh polis dan parti, kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin.

Sebelum ini, kedua-dua lelaki berkenaan menafikan dakwaan tersebut, menegaskan kunjungan mereka ke sebuah premis urut di Wisma Setapak pada 24 Mac sebahagian daripada urusan rasmi bagi “pemantauan rutin”.
Timbalan pengerusi majlis bagi Sub-Zon 2 di Wangsa Maju, R Vijeyndran dan pengerusi majlis bagi Sub-Zon 6 di Wangsa Maju, G Paarthiydasan, turut membuat laporan polis berhubung klip video CCTV yang memaparkan mereka di premis perniagaan tersebut.
Ketika itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Lazim Ismail berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana meletakkan seseorang dalam ketakutan kecederaan untuk melakukan peras ugut, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Pada Rabu, satu akaun Facebook bernama Kelab Penyokong Perikatan Nasional memuat naik video berdurasi lapan minit 34 saat, dengan mendakwa ia memaparkan anggota jawatankuasa PKR bahagian Wangsa Maju meminta bayaran daripada sebuah premis urut.

Dalam video tersebut, yang kelihatan seperti rakaman CCTV, kedua-dua lelaki itu dilihat berbincang mengenai satu tawaran berkaitan urusan dalaman DBKL. Bagaimanapun, sebahagian besar audio tidak jelas dan sukar didengar.
Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata dia telah mengarahkan satu laporan polis dibuat berhubung video tersebut.
Tegasnya jika dakwaan itu benar, kedua-dua lelaki berkenaan akan digugurkan daripada jawatan mereka dalam majlis tersebut, sambil menekankan tiada tolak ansur terhadap sebarang bentuk “wang perlindungan” atau amalan orang tengah.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur secara berasingan menafikan sebarang penglibatan dengan aktiviti yang didakwa dilakukan oleh kedua-dua lelaki itu, serta menolak dakwaan yang mengaitkannya dengan permintaan wang perlindungan dan penyalahgunaan kuasa.
