Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Khamis lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan dalam perutusan khas bahawa Iran bersetuju membenarkan kapal-kapal Malaysia melalui sekatan di Selat Hormuz selepas perbincangan dengan presiden republik itu, Masoud Pezeshkian.

Kedutaan Iran di Malaysia memberi maklum balas melalui satu hantaran media sosial, yang membayangkan bahawa perkara itu sebagai tanda penghargaan atas sokongan Malaysia kepada negara itu ketika waktu sukar.

Bagaimanapun, pelbagai laporan media antarabangsa sejak minggu lalu menunjukkan bahawa tentera Iran mewujudkan "pusat pungutan tol" di selat tersebut, dan mengenakan bayaran sehingga AS$2 juta (RM8.04 juta) untuk laluan. 

Menurut Bloomberg, pembayaran itu adalah secara ad hoc, manakala kaedah pembayaran dan mata wang yang digunakan masih tidak jelas.

Demi ketelusan, anggota parlimen Subang Wong Chen meminta Putrajaya mendedahkan sama ada Malaysia juga membayar ‘tol.

"Jika kerajaan Malaysia perlu membayar tol, maka ia perlu mendedahkannya secara terbuka kerana wang pembayar cukai terlibat.

"Bagi saya, membayar dan mendapat kebenaran untuk belayar adalah lebih baik daripada membiarkan kapal dan anak kapal Malaysia terkandas, tetapi kita perlu telus dan bertanggungjawab.

"Satu lagi isu adalah kita tidak pasti siapa pemilik kapal tersebut dan sama ada mereka juga akan menyumbang," kata Wong kepada Malaysiakini.

Wong Chen

Menurut Menteri Luar Mohamad Hasan, terdapat tujuh kapal milik syarikat Malaysia - termasuk Petronas dan Vantris Energy Berhad (sebelum ini Sapura Energy) - sedang menunggu giliran untuk menyeberangi Selat Hormuz.

Malaysiakini telah menghubungi Wisma Putra bagi mendapatkan penjelasan. Portal berita ini juga sedang cuba menghubungi Petronas dan Vantris Energy.

Anwar sebelum ini berkata hampir 50 peratus minyak mentah yang diimport Malaysia melalui Selat Hormuz.

Iran menyekat selat tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel ke atas republik itu, yang menyebabkan kenaikan harga minyak global. Beberapa negara Asia Tenggara seperti Thailand dan Filipina mengalami kekurangan bekalan minyak akibat tindakan tersebut.

Di Malaysia, sekatan itu menyebabkan harga bahan api tanpa subsidi melambung tinggi dengan diesel kini pada harga RM5.52 seliter di Semenanjung, dan RON95 tanpa subsidi pada RM3.87 seliter.

Putrajaya bertindak balas dengan beberapa langkah penjimatan, termasuk had pembelian diesel bersubsidi di Malaysia Timur, dan mengurangkan had subsidi Budi95 kepada 200 liter sebulan.


Laporan tambahan oleh Zarrah Morden, Hariz Mohd.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS