Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menggesa kerajaan memperkenalkan skim khairat kematian berpusat serta pampasan mandatori bagi keluarga mangsa kemalangan melibatkan pemandu mabuk.
Dia berkata langkah itu perlu disertai tindakan lebih tegas terhadap pesalah yang menyebabkan kematian di jalan raya.
“Pampasan mandatori yang signifikan kepada keluarga mangsa, yang wajib ditanggung oleh pelaku. Sekiranya pelaku tidak berkemampuan, mekanisme tanggungan alternatif termasuk penglibatan keluarga pelaku perlu dipertimbangkan secara adil dan berperundangan.
“Skim khairat kematian berpusat yang diwajibkan kepada semua pemegang lesen memandu, bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada keluarga mangsa tanpa birokrasi yang melambatkan,” katanya pada kenyataan di Facebook hari ini.

Akmal mengulas insiden kemalangan maut di Jalan Raya Barat, Klang, pagi semalam, membabitkan seorang lelaki yang dirempuh kenderaan dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk.
Menurut polis, pemandu Honda City itu memandu secara laju dan berbahaya sebelum memotong beberapa kenderaan, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah motosikal.
Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, Akmal menegaskan kes pemandu mabuk tidak wajar lagi dianggap kesalahan biasa kerana melibatkan kehilangan nyawa.

“Kita tidak boleh lagi melihat isu ini sebagai kesalahan biasa. Jika kesalahan berkaitan dadah dikenakan hukuman berat kerana merosakkan masyarakat, maka perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa juga wajar dipandang dengan keseriusan yang sama - malah lebih, kerana ia melibatkan kehilangan nyawa secara langsung.
“Saya ingin menggesa Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) serta semua ahli parlimen, tanpa mengira blok politik, untuk segera membawa usul dan mengambil tindakan legislatif yang tuntas dalam perkara ini. Tolong jangan tunggu lagi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Majistret Klang hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama empat hari terhadap seorang lelaki berumur 20an kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di Klang, semalam direman empat hari.
Suspek yang hadir memakai baju-T berkolar berwarna putih dan berseluar pendek kelabu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
149 kes pemandu mabuk dari 2021 ke 2024
Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan kesalahan mengambil dadah tanpa kebenaran yang sah dan jika sabit jenayah boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.
Sementara itu, Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan menyebabkan kematian.
Jika disabitkan, pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

Untuk rekod, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada 21 Nov 2024 memberitahu parlimen sebanyak 149 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk didakwa di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tempoh Januari 2021 hingga September 2024.
Melalui jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, Saifuddin menjelaskan data itu berdasarkan perangkaan daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai jumlah kes melibatkan pemandu mabuk yang didakwa di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tempoh 2021 sehingga 2024 dan inisiatif kerajaan dalam membantu mangsa serta waris terkesan.
Analisis statistik kemalangan jalan raya menunjukkan faktor manusia masih kekal sebagai penyumbang utama kepada kes kemalangan maut, menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Setiap 1 jam 56 minit hilang satu nyawa
Data rasmi polis pada 2023 menunjukkan 12,417 kes kemalangan maut daripada 598,635 kemalangan keseluruhan.
Seseorang kehilangan nyawa dalam kemalangan jalan raya di Malaysia setiap 1 jam 56 minit, menurut laporan The Straits Time memetik statistik rasmi kerajaan dari 14 Mac 2024 hingga 18 Mac 2025.
Ini bermakna, satu kemalangan jalan raya berlaku kira-kira setiap 50 saat. Sepanjang tempoh setahun itu, Malaysia merekodkan purata 1,729 kemalangan jalan raya setiap hari, dengan 14 kematian harian.
Kadar kematian keseluruhan akibat kemalangan jalan raya berada pada 0.8 kematian bagi setiap 100 kemalangan.
