mk-logo
Berita
Laporan Bloomberg: PAS ingatkan Anwar pada 'janji suci reformasi'
Diterbitkan:  Mar 30, 2026 3:39 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

PAS mengingatkan Anwar Ibrahim bahawa reformasi yang pernah perjuangkan ahi politik terbabit selama dua dekad bukan sekadar slogan untuk memenangi pilihan raya.

Sebaliknya, kata PAS, ia dianggap “janji suci” kepada berjuta-juta rakyat yang percaya bahawa Malaysia layak mempunyai pemimpin yang telus, akauntabaliti dan berani.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jika hari ini Anwar selaku perdana menteri memilih untuk “menyembunyikan” dapatan siasatan demi melindungi seorang individu, maka dia bukan lagi pejuang reformasi.

“Beliau adalah sebahagian daripada masalah yang beliau janjikan untuk selesaikan. Rakyat sedang memerhatikan. Sejarah sedang mencatat.

“Rakyat tidak meminta lebih daripada apa yang dijanjikan. Kami hanya meminta perdana menteri menunaikan kata-katanya sendiri: siasatan yang telus, keputusan yang adil, dan pemimpin yang berani,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian sebagai mengulas laporan Bloomberg yang mendakwa Anwar mengarahkan pegawai-pegawai kerajaan supaya tidak segera mendedahkan laporan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang dikaitkan dengan pemilikan saham di luar batas undang-undang.

Tuan Ibrahim berkata, jika laporan Bloomberg itu benar, ia adalah satu pengkhianatan besar terhadap prinsip ketelusan yang Anwar sendiri janjikan di parlimen pada 3 Mac lalu.

Mesti digantung tugas

Katanya, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa siasatan ke atas Azam akan dijalankan secara telus dan mematuhi proses wajar.

“Rakyat menerima jaminan itu dengan baik. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

“Laporan siasatan oleh jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara sudah selesai. Ia sudah dibentangkan di kabinet. Ia sudah dirujuk kepada ketua setiausaha negara. Namun rakyat masih dalam gelap,” tegasnya.

Bekas menteri air dan alam sekitar itu turut mempersoalkan jika dapatan siasatan itu membuktikan Azam tidak bersalah, mengapa ia perlu disembunyikan.

“Dan jika dapatan itu membuktikan beliau bersalah, mengapa beliau masih berkhidmat sebagai ketua pesuruhjaya badan pencegah rasuah negara?

“Dalam mana-mana keadaan, jawapannya adalah sama: dedahkan laporan itu,” kata Tuan Ibrahim lagi.

Justeru, dia menuntut supaya kerajaan membentangkan sepenuhnya siasatan jawatankuasa khas tersebut dalam tempoh tujuh hari.

Tegas Tuan Ibrahim, tidak ada sebarang justifikasi untuk Anwar menyembunyikan maklumat – seperti didakwa Bloomberg – kerana ia menyentuh kepentingan awam yang besar.

“Jika dapatan siasatan mendapati Azam melanggar peraturan pegangan saham penjawat awam, beliau mesti digantung tugas serta-merta sementara tindakan disiplin dan undang-undang diambil.

“Badan pencegah rasuah tidak boleh diketuai oleh seseorang yang dirinya sedang disiasat atas dakwaan rasuah,” katanya.

Tuan Ibrahim juga menuntut agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan “mafia korporat” yang dikaitkan dengan SPRM.

Katanya siasatan jawatankuasa dalaman yang dilantik oleh piphak eksekutif adalah tidak mencukupi untuk menangani dakwaan seberat itu.

“Rakyat berhak mendapat siasatan yang benar-benar bebas,” katanya lagi.

Tambah Tuan Ibrahim, parlimen juga mesti memainkan peranan pengawasan yang sewajarnya.

Justeru, katanya, SPRM mesti diletakkan di bawah pemantauan langsung jawatankuasa pilihan khas parlimen, bukannya di bawah badan eksekutif seperti sekarang kerana ia ada kepentingan politik.

“Saya ingin mengingatkan perdana menteri bahawa amanah bukan milik beliau. Ia milik rakyat,” kata Tuan Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS