"Biasanya orang lain berjaga hingga lewat malam untuk ulang kaji pelajaran, tapi saya tukar... tidur awal tapi bangun awal pagi untuk belajar," kata Nur Fatin Syuhada Ahmad Najami.
Dia adalah antara 70 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu dan menerima keputusan peperiksaan itu hari ini.
Nur Fatin Syuhada memperoleh keputusan 10A.
"Biasanya saya bangun sekitar jam 3 pagi, tapi tidaklah terus belajar sebaliknya bersenam atau jogging dahulu sebelum mengulang kaji pelajaran.
"Saya akan cari tempat yang lebih selesa dan terpencil bagi mengelak daripada mengganggu rakan yang lain," jelasnya.
Anak kedua daripada lima beradik itu bercadang untuk melanjutkan pengajian di luar negara selepas ini.
Katanya, dia tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang memandangkan keputusan percubaan sebelumnya hanya memperoleh 6A.
"Alhamdulillah... memang tak sangka kalau tengok kepada keputusan (percubaan).
“Kalau ikutkan saya nak tumpu kepada bidang animasi selepas ini, tapi dengan keputusan hari ini, saya fikir boleh 'melangkah lebih jauh', mungkin melanjutkan pengajian ke luar negara," katanya.

Anak kepada pasangan Ahmad Najami Mohamad Zubir dan Zamzurina Mohammad itu juga berhasrat pencapaian itu menjadi langkah pertama untuk dia mengubah nasib keluarganya.
"Ayah saya berniaga kecil-kecilan di tepi jalan saja dan ibu yang bantu ayah di gerai selain menggalas tugas sebagai suri rumah.
"Mungkin selepas ini saya boleh melanjutkan pengajian dalam bidang profesional dan dapat kerja dengan gaji yang besar... jadi bolehlah bantu mereka yang banyak berkorban untuk saya dan adik-beradik selama ini," ujarnya yang juga sudah selesai menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Hasil sokongan berterusan
Sementara itu, seorang lagi pelajar MTNP, Muhammad Luqman Mohammad Aqsa, yang mendapat 11A pula menyimpan impian untuk membina kehidupan lebih baik untuk keluarganya.
"Saya pun berasal dari keluarga yang bukan senang jadi dah biasa berdepan kesulitan, terutamanya membabitkan kewangan.
"Tapi saya selalu ingatkan diri, kalau saya susah sekali pun, ada orang lagi susah berbanding saya, jadi saya harap satu hari nanti dapat membantu seberapa ramai orang yang boleh," katanya.
Dia adalah anak kedua daripada tiga beradik, manakala ayahnya, Mohammad Aqsa Abd Wahab, bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah di Bentong, Pahang.

Ibunya, Norkamiza Baharuddin pula suri rumah sepenuh masa.
"Buat masa ini saya belum fikir ke mana untuk sambung pelajaran... keputusan SPM diterima hari ini juga agak mengejutkan saya, insya-Allah... saya akan buat keputusan terbaik untuk melanjutkan pengajian selepas ini," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abd Razak Abu Musa Saari, ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan memberitahu, pencapaian direkodkan pelajar MTNP dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang adalah sangat membanggakan.
"Kedua-duanya (MTNP dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang) adalah di bawah kendalian Yayasan Pahang dan mereka telah menunjukkan prestasi membanggakan setiap tahun.
"Saya dimaklumkan gred purata sekolah (GPS) diperoleh Maahad Tahfiz Turath 0.6 dan mungkin terbaik di peringkat Kebangsaan manakala bagi MTNP pula, GPS direkodkan 1.06.
"Apa pun, kita tunggu pengumuman rasmi... dan semua pencapaian ini diperoleh hasil sokongan berterusan daripada kerajaan Pahang," katanya.
