Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Apa Malaysia perlu belajar dari perang Iran-Amerika

Perang Teluk yang melibatkan Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel menawarkan banyak pengajaran penting kepada Malaysia dan Asean.

Negara-negara Arab di Teluk mengalami penderitaan yang besar akibat tindakan tidak bertanggungjawab AS dan Israel. Namun mereka juga sebahagiannya dipersalahkan kerana sikap berpandangan pendek dan terlalu bergantung kepada AS serta Barat.

Negara-negara monarki Arab Teluk, dengan beberapa pengecualian, masih terikat dengan mentaliti lama peninggalan penjajah Barat. Kekayaan minyak yang melimpah tidak menjadikan mereka cukup kuat dari segi mental dan daya tahan untuk menentukan nasib sendiri serta berdikari dari sudut ketenteraan dan ekonomi.

Mereka sentiasa tunduk kepada kuasa hegemoni Barat dan kecenderungan politiknya sehingga mengorbankan kepentingan negara sendiri, dan kini membayar harga yang sangat mahal atas kesilapan tersebut.

Jaminan keselamatan ketenteraan oleh AS dan Barat, sebagai pertukaran kepada pangkalan tentera di negara Arab, ternyata tidak bermakna apabila tindakan AS dan Israel yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa mencetuskan perang yang tidak masuk akal di rantau Teluk. Kepentingan Israel sebagai sekutu utama AS jelas mengatasi kepentingan negara-negara Teluk dan Arab Saudi.

AS sendiri tidak mampu melindungi anggota tenteranya dan rakyatnya apabila mereka berundur dan meninggalkan negara-negara Teluk selepas menyerang Iran tanpa berunding dengan negara-negara tersebut. Ketika konflik memuncak, AS dilihat mengabaikan negara tuan rumah pada pangkalan tenteranya dan lebih mengutamakan kepentingan Israel.

Kesan konflik ini sangat luas apabila seluruh dunia kini menanggung beban ekonomi yang besar. Semakin AS dan Israel meningkatkan serangan terhadap Iran, semakin teruk kesan ekonomi global yang terpaksa ditanggung oleh semua pihak.

Malaysia dan Asean tidak boleh mengulangi kesilapan besar dengan tunduk kepada tekanan hegemoni AS dan Barat. Perang Vietnam menjadi contoh bencana besar yang menyebabkan gelombang pelarian “boat people” ke rantau ini. Pulau Bidong di Malaysia pernah menjadi pusat transit sementara bagi pelarian, sedangkan AS lambat menerima mereka dan hanya memilih golongan profesional, meninggalkan kesan sosial dan ekonomi yang besar kepada Asean. Selepas Vietnam, Afghanistan pula menjadi contoh kegagalan lain AS.

Malaysia dan Asean mesti menjadi penentu nasib sendiri dan tidak membenarkan AS memecahbelahkan seperti yang berlaku di Timur Tengah. Kehadiran tentera AS di Filipina juga menimbulkan kebimbangan kerana boleh mencetuskan konflik maritim dengan China. Pertikaian wilayah laut maritim sepatutnya diselesaikan melalui diplomasi Asean, bukan melalui pendekatan ketenteraan gun boat diplomacy secara AS.

Sikap agresif AS

Dunia menyaksikan sikap agresif AS yang mencetuskan pelbagai konflik termasuk perluasan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang membawa kepada perang Ukraine-Rusia, sebelum akhirnya Ukraine dibiarkan berdepan sendiri.

Malaysia bersama Asean perlu berpegang kepada konsep Zopfan (Zon Aman, Bebas dan Berkecuali). Hari ini, AS dan Barat dilihat semakin kurang menawarkan kelebihan kuasa ekonomi dan ketenteraan, malah dasar mereka dilihat mencetuskan ketidakstabilan global. China kini mendahului dari segi ekonomi, manakala Iran pun menunjukkan kemajuan teknologi ketenteraan seperti dron dan peluru berpandu hipersonik yang boleh mengatasi Iron Dome Israel rekaan AS.

Malaysia perlu meninggalkan mentaliti lama yang tunduk kepada penjajah dan bangkit sebagai negara berdaulat yang bebas dan berbangga, seiring dengan kebangkitan kuasa di Timur.

Dalam kalangan negara Asean, isu serantau perlu diselesaikan secara dalaman melalui diplomasi, seperti kejayaan Malaysia baru-baru ini dalam membantu menyelesaikan konflik Vietnam-Thailand secara aman melalui inisiatif perdana menteri.

Malaysia perlu melangkah ke hadapan sebagai negara berkecuali dalam dunia multipolar tanpa dipengaruhi hegemoni AS dan Barat.


RAJA BAHRIN SHAH adalah pengerusi Biro Antarabangsa Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS