Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM beri 2 minggu untuk James Chai pulang, sedia bayar duit tiket
Diterbitkan:  Apr 1, 2026 12:50 PM
Dikemaskini: 6:34 AM
2

SPRM memberi tempoh dua minggu kepada penyelidik, James Chai untuk pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan perjanjian RM1.1 billion kerajaan dengan Arm Holdings.

Suruhanjaya pencegahan rasuah itu menyatakan bahawa pihaknya sudah memberi pelanjutan tempoh kepada Chai sehingga 31 Mac disebabkan komitmen kerja dan kos perjalanannya, namun dia tetap tidak hadir.

“Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan surat pada hari ini yang menetapkan bahawa beliau perlu hadir dalam tempoh dua minggu, dan SPRM juga bersedia untuk menanggung kos penerbangan beliau pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.

“Sekiranya beliau masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, suruhanjaya ini akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk Interpol atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadiran beliau,” kata SPRM.

James Chai atau hai Jin Shern adalah bekas pembantu Rafizi Ramli, bekas menteri dalam kabinet Anwar Ibrahim yang kini menjadi pengkritik lantang kerajaan.

Rafizi Ramli

Chai adalah seorang daripada beberapa bijak pandai yang dilantik Rafizi bagi membantunya di Kementerian Ekonomi.

Lelaki terbabit merupakan graduan pusat pengajian terkemuka dunia Universiti Oxford dalam bidang undang-undang dan teknologi, selain turut dikenali sebagai seorang penulis.

Dalam kenyataan panjang lebar, Chai mengkritik usaha SPRM memburunya dan berkata badan antirasuah itu harus membuktikan dia berniat jahat dan terlibat dalam sebarang cadangan projek antara Mei 2024 hingga Mac 2025.

‘Beri keterangan, bukan buat penjelasan di ruang awam’

Dalam kenyataan hari ini, SPRM menegaskan bahawa semua individu yang dipanggil untuk membantu siasatan wajib memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Katanya, jika Chai berpendirian dia tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya adalah tampil memberi keterangan kepada, bukan mengemukakan penjelasan di ruang awam.

“SPRM menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang, dan siasatan akan diteruskan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti,” katanya.

Sementara itu, SPRM mendedahkan sebanyak 17 saksi telah dirakam percakapan, melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Badan antirasuah itu juga dijangka menyoal siasat lapan lagi saksi, termasuk individu yang berada di luar negara.

SPRM juga mengambil dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan.

Rafizi, anggota parlimen Pandan, menafikan terdapat penyelewengan atau tindakannya mengelirukan kabinet dalam rundingan itu.

Dia juga mendakwa siasatan itu berkemungkinan untuk mengalih perhatian daripada isu lain yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

SPRM menyiasat perjanjian mega  itu susulan maklumat dan dakwaan beberapa buah pertubuhan bahawa ia dimeterai secara tergesa-gesa oleh Kementerian Ekonomi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS