Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Setahun tragedi Putra Heights: Penduduk tuntut jawapan, bukan janji-janji

Di sebalik krisis tenaga global yang semakin meruncing, kumpulan pencinta alam sekitar dan penduduk yang terjejas berkumpul hari ini untuk mengenang kembali kesan berpanjangan akibat letupan dan kebakaran yang berlaku di sepanjang saluran paip gas bertekanan tinggi Peninsular Gas Utilization (PGU) Fasa II di Putra Heights, Selangor, tahun lalu.

Selain mengimbas kejadian yang telah merosakkan lebih 500 rumah dan memusnahkan ratusan kenderaan, serta mencederakan lebih 110 individu, dan memaksa lebih 600 isi rumah berpindah, penduduk turut menuntut jaminan berhubung masa depan mereka.

Seorang penduduk yang memperkenalkan dirinya sebagai Natasha Aiyla, 36 secara khusus mengajukan soalan itu kepada Adun Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.

“Apa manifesto pilihan raya awak, khususnya untuk Putra Heights?” soalnya yang kemudian disambut dengan gelak tawa hadirin di dewan komuniti masjid Putra Heights.

Menjawab soalan itu, Preakas yang agak terkejut berkata, “Pertama, saya pun tidak pasti sama ada saya akan dicalonkan (pada pilihan raya akan datang) atau tidak.”

“Tapi tidak mengapa, pandangan saya ialah kawasan ini mesti selamat.

“Oleh kerana saluran paip itu bukan sahaja di Putra Heights tetapi juga melalui Kota Kemuning, Sri Muda dan Bukit Kemuning, keseluruhan kawasan ini berada dalam kawasan saya.

“Jadi tuntutan saya kepada kerajaan ialah mereka perlu menjalankan pemeriksaan keselamatan di semua kawasan ini untuk memastikan ia selamat.

Preakas Sampunathan

“Kedua, saya telah membincangkan isu (keselamatan) ini dengan Persatuan Penduduk. Mereka mesti tahu apa yang perlu dilakukan dan di mana mereka boleh mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kejadian seumpama itu,” katanya.

Preakas mendakwa bahawa dia telah membangkitkan perkara itu di Dewan Undangan Negeri Selangor serta semasa pertemuan dengan Petronas, pengendali saluran paip itu.

Dia sebelum ini diberi taklimat dasar bertajuk “Putra Heights One Year On: Unanswered Questions Remain” yang disediakan oleh Greenpeace Malaysia dan RimbaWatch.

Adun ituturut berkata dia akan membangkitkan isi dokumen itu pada sidang DUN Selangor akan datang.

Seorang lagi penduduk, Eunice Tan, berkata walaupun Preakas aktif memberikan bantuan pantas kepada penduduk, masih banyak usaha yang diperlukan untuk penyelesaian jangka panjang bagi melindungi penduduk pada masa depan.

“Awak sentiasa ada. Bila kami hubungi, awak akan datang. Tetapi apa yang kami mahukan sekarang ialah penyelesaian.

Eunice Tan

“Perkara paling penting yang saya ingin adalah supaya kerajaan beri perhatian ialah hakikat bahawa masa lalu adalah masa lalu dan kita tidak boleh mengubahnya.

“Namun apa yang akan awak lakukan untuk masa depan? Kerana kita sudah tahu kawasan ini sudah tidak lagi selamat,” katanya merujuk kepada tapak letupan.

Tan merupakan antara 36 penduduk Taman Putra Harmoni, Putra Heights yang dilaporkan memfailkan saman pada 18 Oktober tahun lalu terhadap Petronas dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi menuntut pampasan berhubung kerugian mereka serta pertanggungjawaban dari pihak berkuasa.

Merujuk kepada kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Tan berkata ia bukan pilihan utama mereka, sebaliknya satu langkah yang perlu untuk mendapatkan penyelesaian jangka panjang.

“Kami berharap ada perubahan dasar […] supaya kerajaan bertindak apabila mengetahui ada sesuatu yang tidak kena.

“Kawasan ini kita tahu sudah tidak selamat, jadi mengapa perlu bina semula atau membaiki (rumah) di situ?

“Kami terbuka untuk perbincangan dan kami di sini bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi kami mahukan penyelesaian proaktif,” tegasnya.

Menurut laporan berita bertarikh 4 Disember tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata beberapa isi rumah sama ada menolak bantuan kerajaan atau mengambil tindakan undang-undang berhubung insiden itu, sekali gus mewujudkan kekangan yang melambatkan penyaluran dana dan kerja-kerja pembinaan semula.

Nga ketika itu berkata Sime Darby telah dilantik sebagai pemaju utama bagi mempercepatkan proses, namun kes mahkamah yang masih berjalan dikatakan menghalang sebarang kemajuan, walaupun terdapat pertanyaan daripada penduduk lain yang bersetuju menerima bantuan kerajaan.

Menjawab penduduk, Preakas merujuk kepada saman sivil yang sedang berjalan dan berkata, “Keperluan anda mungkin berbeza dengan jiran anda. Ada yang berkata, ‘Saya mahu rumah saya semula, sada pula kata, saya tiada tempat lain untuk pergi’.”

Dia turut menegaskan kerajaan negeri bukan sahaja perlu berlaku adil kepada semua yang terjejas, tetapi juga perlu menghormati proses mahkamah yang boleh membawa kepada “tuntutan berganda” bagi pampasan.

Bercakap kepada Malaysiakini, penduduk Loo Yoke Chen mendedahkan bahawa tawaran bantuan kewangan kerajaan dihulurkan dengan syarat tertentu.

“Ambil bantuan, tetapi lepaskan tindakan undang-undang. Ini tidak boleh diterima oleh kami kerana kami mahu menggunakan hak kami.

“Kami berhak untuk mengetahui apa yang menyebabkan pergerakan tanah, mengapa ia tidak dikesan, dan bagaimana kerajaan merancang untuk memperkukuh peraturan bagi melindungi orang awam dengan lebih baik,” tegas Loo yang cedera dalam insiden itu bersama ibu bapanya, Khoo Poh Lian dan Loo Fook Foh, serta anak perempuannya.

Loo kemudian menunjukkan kesan parut akibat melecur tahap kedua dan ketiga di tapak kakinya, manakala Khoo mengalami kecederaan serupa pada kedua-dua kaki.

“Secara keseluruhan, terdapat kurang rasa tanggungjawab. Kami tidak berasa didengari atau diwakili.

“Pemulihan daripada kecederaan sebagai mangsa melecur adalah satu perjuangan sehari-hari.

“Semua orang mudah lupa dan telah meneruskan kehidupan tanpa menyedari kesakitan yang masih kami tanggung hingga hari ini. Insiden ini telah mengubah hidup kami selamanya.”

Perhimpunan itu turut menampilkan tayangan dokumentari selama 20 minit mengenai letupan Putra Heights, yang berakhir dengan penduduk dan penganjur mengangkat plakad yang menuntut keadilan dan jawapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS