mk-logo
Berita
AG bidas pengkritik, pertahan tuduhan bunuh kes nahas Klang

Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar hari ini mengingatkan pengkritik tentang peranannya sebagai penjaga kepentingan awam, selepas semakin ramai termasuk peguam mempersoalkan rasional di sebalik tindakan Jabatan Peguam Negara memfailkan pertuduhan bunuh berhubung kematian pekerja gudang dan penghantar barang, Amirul Hafiz Omar.

Bercakap kepada Malaysiakini, Dusuki sekali lagi menegaskan pihaknya telah memberi pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan untuk merangka pertuduhan bunuh terhadap R Saktygaanapathy, 28, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Saya mesti bertindak sebagai penjaga kepentingan awam dan memastikan keadilan untuk keluarga mangsa yang menuntut keadilan yang adil dan saksama. Kematian itu amat tragik. Mengabaikan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain adalah kejam.

"Keterangan saksi dan rakaman kamera papan pemuka daripada kenderaan saksi di lokasi kejadian mengesahkan perlakuan tertuduh.

"Setiap kes mesti diteliti secara berasingan kerana berbeza dari segi fakta dan keadaan. Dengan kata lain, dinilai kes demi kes.

"Jika terdapat elemen yang mencukupi, kami akan mengemukakan pertuduhan sewajarnya," kata Dusuki.

Dusuki menjelaskan tindakan tertuduh — didakwa sengaja memasuki laluan bertentangan pada kelajuan tinggi — mewujudkan keadaan yang “amat berbahaya serta-merta” kepada si mati, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.

Undang-undang berkenaan terpakai apabila seseorang melakukan perbuatan dengan mengetahui ia begitu berbahaya sehingga berkemungkinan besar menyebabkan kematian.

Peguam beza pendapat

Semalam, peguam Haniff Khatri Abdulla yang menyokong pertuduhan bunuh itu berkata keputusan AGC mendakwa Saktygaanapathy atas kesalahan bunuh tidak bermakna tertuduh akan dilepaskan jika pihak pendakwaan gagal membuktikan niat.

Haniff memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun pihak pendakwaan gagal membuktikan kes di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan, undang-undang membenarkan pertuduhan lain dikenakan pada akhir kes pendakwaan.

Namun, dua lagi peguam berhujah pihak pendakwaan silap kerana meneruskan pertuduhan bunuh sejak awal.

Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL) Latheefa Koya mengkritik pendekatan tersebut, menegaskan pertuduhan yang tepat perlu ditentukan dari awal dan bukan dibiarkan sehingga penghujung kes pendakwaan.

Seorang lagi peguam, Eric Paulsen, turut senada dengan Latheefa.

Dia berkata memang wujud kemungkinan untuk menggunakan peruntukan Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan. Namun, katanya entafsir tindakan tertuduh yang memasuki laluan bertentangan dengan cara tersebut berkemungkinan sukar untuk berjaya.

Sementara itu, menjawab persoalan mengapa Saktygaanapathy tidak didakwa serentak atas kesalahan bunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol, Haniff (gambar bawah) berkata perkara itu tidak dibenarkan dari segi undang-undang.

Jelasnya, berbeza dengan kes rasuah yang boleh menghasilkan pelbagai kesalahan seperti salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, kedua-dua pertuduhan bunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kes ini berkaitan punca kematian.

Oleh itu, katanya, satu-satunya pilihan lain ialah menjadikan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol sebagai pertuduhan alternatif kepada bunuh.

Namun, dia menambah langkah itu akan menggagalkan tujuan utama untuk mendakwa atas kesalahan bunuh.

Menurutnya, apabila wujud pertuduhan alternatif, tertuduh boleh mengaku bersalah sama ada terhadap kesalahan utama atau alternatif, sekali gus memberi peluang untuk mengelakkan hukuman yang lebih berat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS